Pengikut

Selasa, 3 April 2012

PSC cadang bubar parlimen lepas cukup 4 tahun

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), yang ditubuhkan enam bulan lalu, mengesyorkan agar Parlimen hanya dibubarkan selepas empat tahun mandat diperoleh bagi memudahkan persediaan semua pihak yang menyertai proses pilihan raya.

Dalam laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini, PSC berharap keperluan itu diperuntukkan dalam undang-undang.

Walaupun peruntukan itu tidak menetapkan tarikh pembubaran dan pilihan raya tetapi dilihat memenuhi sebahagian tuntutan pihak-pihak tertentu agar Parlimen hanya dibubarkan di akhir tempoh lima tahun mandat semasa.

Di bawah sistem demokrasi diamalkan di negara ini, pilihan raya diadakan setiap lima tahun sekali.

Pilihan raya umum ke-12 pada 2008 diadakan empat tahun selepas pilihan raya umum 2004.

Sejak negara merdeka pada 1957, sebanyak 12 pilihan raya umum dan 10 pilihan raya negeri Sabah dan Sarawak telah diadakan.

"Jawatankuasa mengambil maklum bahawa di bawah Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama

lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

"Jawatankuasa mengambil maklum bahawa terdapat cadangan tarikh Parlimen dibubarkan dinyatakan dalam peruntukan undang-undang bagi memudahkan persediaan oleh semua pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya," kata laporan PSC Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Kabinet memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa itu Ogos lalu dan pembentukannya diluluskan oleh Parlimen Oktober lalu susulan perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Menurut laporan itu, PSC mengambil maklum bahawa kuasa untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen bukan merupakan kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut peruntukan undang-undang dan turut mengambil maklum bahawa kuasa agensi itu hanya dalam menetapkan tarikh pilihan raya setelah Parlimen dibubarkan.

PSC dianggotai sembilan wakil rakyat masing-masing lima dari Barisan Nasional, tiga mewakili komponen Pakatan Rakyat dan seorang Ahli Parlimen Bebas.

-SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan