Pengikut

Selasa, 6 Mac 2012

Debat Dengan Anwar Jika Serius Utamakan Masa Depan Negara, Kata PKR Kepada Najib

PKR sekali lagi mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas perdana menteri itu secara terbuka menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan yang serius mengenai masa depan negara.

Semalam Najib berkata beliau sedia berdebat mengenai politik, menambah sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri beliau.

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Najib wajar menerima tawaran debat Anwar yang dibuat pada tahun lalu tentang kedudukan ekonomi, Buku Jingga Pakatan Rakyat dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran negara.

“Justeru kita berharap kesanggupan Najib ini benar-benar jujur kerana tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat masih lagi terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Malangnya kami belum menerima sebarang jawapan daripada perdana menteri tentang tawaran itu.”

Justeru beliau mahu Najib menerima tawaran debat Anwar bagi membolehkan rakyat mendengar secara langsung dasar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

“PKR sekali lagi menggesa agar Najib menerima tawaran debat ini sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkannya, melainkanlah Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku Jingga, tata kelola kerajaan yang baik, kenaikan kenaikan kos hidup dan penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan,” katanya.

“Najib turut meluahkan kebimbangannya tentang keupayaan lawannya di dalam perdebatan untuk bercakap berdasarkan fakta dan mengawal emosi. Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.”

Bulan lalu, debat antara Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, telah diadakan menyaksikan sejumlah 800 penonton telah ditayangkan di Astro Mandarin.

Kemudiannya diikuti dengan debat antara Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, di London.

Cabaran debat Anwar hanya disambut sekali, iaitu pada Julai 2008 dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang ketika itu merupakan Menteri Penerangan dan disiarkan secara langsung.

Majoriti rakyat negara ini mahu melihat debat antara Najib dan Anwar. -The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan