Pengikut

Rabu, 11 Januari 2012

Majlis Fatwa: Dakwat kekal harus dan dibenarkan

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 adalah harus dan dibenarkan.

Keputusan itu dicapai berdasarkan tiga kriteria utama dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 adalah harus dan dibenarkan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air,” kata Jabatan Penerangan Malaysia di laman Twitter dan Facebook.

Difahamkan mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Pada Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan dakwat kekal akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 namun perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dari segi kandungan dalam bahan itu.

Penggunaan dakwat kekal adalah antara 10 cadangan yang dikemukakan dalam laporan awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini.

Ia juga merupakan salah satu tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Pada pilihan raya umum 2008, SPR memperoleh bekalan dari India dengan kos dianggarkan dalam sekitar RM4 juta.

Bagaimanapun penggunaannya dibatalkan pada saat-saat akhir atas alasan keselamatan dan perundangan. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan