Pengikut

Selasa, 10 Januari 2012

Hasan Ali di pecat bukan kerana PKR atau DAP

Pas pusat menafikan pihaknya mengambil tindakan memecat Datuk Dr Hasan Ali kelmarin disebabkan tekanan daripada parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP.

Selain itu, beberapa pemimpin kanan yang dihubungi juga menegaskan, keputusan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat juga tidak dipengaruhi oleh pendirian rakan-rakan mereka dalam PR.

Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dipecat sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta, kelmarin.

"Tidak, tidak. Tidak timbul isu kami dipengaruhi oleh PKR atau DAP," kata Naib Presiden Salahuddin Ayub ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Salahuddin berkata, Pas sebagai sebuah parti mempunyai pendirian dan sebab untuk mengambil tindakan dalam isu-isu seperti yang dipertimbangkan kelmarin.

"Kita berdiri pada fakta kes, bukan ikut cakap orang lain," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Dalam responsnya beberapa jam selepas dipecat, Hasan kesal dengan tindakan pemecatannya yang didakwa gara-gara desakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mahukan beliau dipecat dari parti itu.

Menurutnya, beliau percaya kenyataan yang dibuat Azmin yang mahukan Pas memecatnya menjadi punca pemecatannya.

Katanya, beliau mempertikaikan dan hairan mengapa Azmin masuk campur urusan dalaman Pas.

Menurutnya, beliau percaya semuanya berpunca daripada kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini tentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, isu pemecatannya timbul selepas beliau menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh Anwar mengenai kes liwatnya itu merupakan masalah peribadi.

Beberapa media dan blog juga mendakwa Hasan dipecat Pas disebabkan tekanan dan dipengaruhi oleh kedua-dua komponen berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan keputusan memecat Hasan tidak melibatkan tekanan atau pengaruh mana-mana parti lain.

"Kami bincang isu ini mengikut isu yang diketengahkan, bukannya kerana pihak lain ataupun kena-mengena dengan parti-parti lain," kata beliau lagi. -SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan