Pengikut

Isnin, 4 Julai 2011

Hishamuddin tak mampu sekat kemarahan rakyat

Amarah rakyat terhadap Barisan Nasional tidak dapat dihentikan lagi walaupun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein nekad menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat hatta kerahan tentera demi menghalang perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dirancang pada Sabtu ini di ibunegara.

Justeru kata Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man, kerajaan pusat yang diteraju Barisan Nasional dan Umno wajar mencontohi teguran Khalifah Umar Abdul Aziz kepada seorang gabenornya dalam menangani kebangkitan dan kemarahan rakyat sebelum terlambat.

"Sewaktu seorang gabenor memohon peruntukan tambahan kepada Khalifah Umar Abdul Aziz bagi membuat benteng bagi menahan pemberontakan rakyat terhadap pemimpin, Umar membalas surat permohonan gabenornya dengan katanya 'bentenglah kemarahan rakyatmu dengan keadilanmu, mendengar rintihannya, melayani aduan mereka; itu lebih teguh benteng daripada kota yang kamu cuba bina'.

"Wahai Kementerian Dalam Negeri, ambillah iktibar daripada Umar Abdul Aziz sebelum terlambat," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengecam langkah kerajaan dan polis melakukan berpuluh tangkapan awam hatta bertindak mengharamkan Bersih 2.0 walaupun pertubuhan gabungan itu hasil iltizam politik 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno turut dikecam kerana menyalahguna kuasa hatta membelakangkan perlembagaan persekutuan.

Katanya, langkah mengharamkan Bersih 2.0 adalah bertentangan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam hak ssasi manusia, N Surendran (Naib Presiden PKR).

Beberapa hari lalu, dilaporkan, Hishamuddin mengarahkan Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman untuk mengharamkan Bersih 2.0 atas alasan pergerakan sivil itu bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah serta kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Bersih 2.0 Bersih turut dituduh cuba menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi menjatuhkan kerajaan persekutuan sekarang dengan menuntut supaya pilihan raya yang bebas dan adil diadakan.

Tuduhan itu ketika Ahli Parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan di bawah Ordinan Darurat bermula semalam.

Putrajaya turut mendakwa bahawa aktiviti-aktiviti Bersih 2.0 telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Langkah pengharaman Bersih 2.0 tersebut, kata Tuan Ibrahim lagi, mungkin sebagai rancangan awal menangkap beberapa pemimpin lain demi menggagalkan usaha memperbaiki sistem demokrasi dan pilihan raya negara.

"Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan badan bukan kerajaan yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9 ini," beliau menambah.

-PenangDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan