Pengikut

Rabu, 29 Jun 2011

Polis Akan Tahan Sesiapa Sahaja Terlibat Dengan BERSIH

Polis akan menahan sesiapa sahaja yang mempamerkan apa-apa perkataan atau lambang yang menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan di ibu negara pada 9 Julai ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Bukan sahaja baju, kereta, bas, kasut, seluar dan apa sahaja yang berbau hasutan akan ditangkap di bawah undang-undang yang boleh diguna pakai," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini.

Beliau berkata antara undang-undang yang boleh digunakan dalam tindakan ini ialah Seksyen 27(5) Akta Polis iaitu percubaan untuk mengadakan perhimpunan haram.

Sehubungan itu, Ismail menasihati kumpulan yang berlainan ideologi itu supaya membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan haram demi keamanan negara.

Terdahulu, Ismail memanggil pemimpin kumpulan yang dijangka terlibat dengan perhimpunan haram itu di pejabatnya dan menerangkan kepada mereka tentang kesan perhimpunan haram itu terhadap keselamatan negara.

Antara yang hadir ke Bukit Aman hari ini adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Syed Hassan Syed Ali mewakili presiden mereka Datuk Ibrahim Ali, yang tiba pukul 10 pagi.

Turut hadir adalah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang tiba pukul 3 petang manakala Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, Datuk S. Ambiga akan dipanggil pada Khamis.

Ambiga sebelum ini menyatakan bahawa kumpulannya akan tetap mengadakan perhimpunan haram itu walaupun tidak mendapat permit polis dan tidak menghiraukan tentang soal keselamatan negara.

-BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan