Pengikut

Sabtu, 11 September 2010

Pulau Pinang longgar larangan khatib jemputan baca khutbah Jumaat

Larangan khatib jemputan membaca khutbah Jumaat di Pulau Pinang telah dilonggarkan sedikit dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) membenarkan beberapa pihak dari lingkungan agensi agama negeri itu berbuat demikian.
Surat pekeliling 6 September 2010 yang ditandatangani Pengarah JAIPP, Sazali Hussein menyebut, selain pegawai masjid yang terdiri dari imam dan bilal, turut dibenar menyampaikan khutbah ialah pegawai dan anggota Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Selain itu, ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, pegawai-pegawai JAIPP termasuk Pegawai Tadbir Agama Daerah, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan Pusat Urus Zakat juga dibenarkan.

Pekeliling itu dikeluarkan kepada semua masjid di Pulau Pinang rentetan arahan bertarikh 26 Ogos.

Pekeliling bulan lalu dikeluarkan JAIPP melarang khatib jemputan menyampaikan khutbah di seluruh masjid negeri itu.

Dalam pekeliling terdahulu juga menyatakan larangan tersebut berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Tindakan yang diambil JAIPP ini adalah ekoran pengakuan oleh khatib jemputan Zakaria Ahmad dari Perak bahawa beliau pernah membaca khutbah Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor dan Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth.

Dalam khutbah tersebut, beliau mengaku membacakan doa bagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk diberikan hidayah bagi menerima Islam.

Namun begitu pada 19 Ogos lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendakwa terdapat khatib yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dengan nama Lim.

Timbalan Yang Dipertua MAIPP, Mohd Salleh Man berkata, tindakan melarang khatib jemputan membaca khutbah ini adalah bagi meredakan keadaan yang dilihat dipolitikkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Dengan tindakan begini ia dapat mengawal suasana supaya tidak menjadi lebih hangat apabila isu ini tidak lagi dijadikan motif politik oleh pihak-pihak tertentu,” kata beliau yang juga ADUN Permatang Pasir.

Mohd Salleh berkata, isu itu sengaja dimainkan sebagai modal politik oleh mereka yang terdesak bagi meraih sokongan dengan memburukkan imej kerajaan negeri yang memerintah Pulau Pinang.

“Saya yakin usaha sesetengah pihak untuk menjadikan isu ini sebagai sesuatu yang besar dan hangat tidak akan berjaya setelah JAIPP dan MAIPP mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah ini.” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan