Demikianlah kata-kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri, dalam Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera yang diadakan di Hotel Eastin, Bayan Baru, semalam.
Persidangan yang ditangguhkan dua kali sebelum ini telah menyaksikan semua jawatan dimenangi tanpa pertandingan. Jawatan Ketua UMNO Bahagian masih lagi kekal di tangan Abdul Jalil Ariffin dan Timbalannya pula ialah Mohd Salim Bari. Manakala jawatan Naib Ketua pula dimenangi oleh Ismail Abu Bakar.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian buat laporan polis
Bagaimanapun, persidangan yang diraikan dengan penuh adat istiadat Melayu yang gilang-gemilang itu telah dicemari dengan laporan polis yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera, Rose Akmar b. Ahmed di Balai Polis Butterworth.
"Laporan polis sebelum ini telah dibuat oleh empat perwakilan pada 9 Julai yang lalu. Namun begitu pihak bahagian masih lagi tidak mengendahkan segala laporan yang dibuat," jelasnya.
Rose Akmar mempertikaikan, "Mereka tidak mengikut peraturan dalam Perlembagaan parti. Cawangan saya iaitu Kampung Mutiara hanya menerima notis persidangan pada 6 Ogos sedangkan persidangan pada 8 Ogos. Apakah ini mengikut perlembagaan parti?"
Akmar: UMNO Bukit Bendera bercelaru
Akmar juga berkata, tindakan yang diambil adalah bagi membuktikan bahawa UMNO Bahagian Bukit Bendera masih lagi berada dalam suasana bercelaru.
"Mereka tidak mengguna pakai perlembagaan parti yang ada. Mereka hanya menggunakan apabila ianya untuk kepentingan mereka sahaja," sambungnya.
Zainol berkata,"Kami bukan saja tidak dimaklumkan mengenai persidangan ini malah cawangan yang tidak menyokong mereka akan dipinggirkan."
Tidak terima notis mesyuarat
Sementara itu, Ketua Pemuda Cawangan Kampung Mutiara, Rose Azaley pula mendakwa bahawa dalam persidangan pemuda UMNO Bahagian baru-baru ini, mereka juga tidak menerima notis mesyuarat.
"Sekiranya ini adalah tingkah laku yang ada pada kepimpinan UMNO bahagian, maka ia bukan saja merugikan penyokong yang sedia ada, malah ia membuktikan betapa seriusnya keretakan yang berlaku dalam UMNO Bahagian Bukit Bendera sendiri," tegasnya lagi.
Ahmad Ismail yang telah digantung sebagai Ketua UMNO Bahagian pada 2008 yang lalu berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Jawatankuasa Bahagian bagi mengadakan pemilihan baru.
Namun begitu, beliau telah menarik diri pada minggu lalu setelah mendakwa bagi memantapkan perpaduan parti dan Barisan Nasional di Pulau Pinang. Sebelum ini, Ahmad Ismail mencetuskan kontroversi dengan dakwaan "kaum Cina dan India sebagai pendatang yang menumpang di Tanah Melaya", malah bertelagah secara terbuka dengan parti komponen Barisan Nasional, Gerakan di Pulau Pinang.
*Nazar Hashim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan