Pengikut

Isnin, 23 Ogos 2010

Pemuda PAS mahu yakinkan Karpal, Kit Siang

Dewan Pemuda PAS Pusat sedia bertemu dengan pemimpin DAP Karpal Singh dan Lim Kit Siang atau mana-mana pihak bagi meyakinkan bagaimana hukum hudud boleh digunakan untuk “memulihkan satu peradaban yang kian runtuh.”

Dengan merujuk kepada kenyataan Karpal dan Lim semalam dan baru-baru ini berhubung penggunaan hudud mengatasi masalah sosial, Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dengan siapa jua yang memerlukan penjelasan mengenai pelaksanaan syariat Islam termasuk kepada pihak pemerintah.

Sementara undang-undang atau peraturan yang ada pada hari ini gagal merawat dan mengubati penyakit masyarakat yang melanda teruk hari ini, kenapa tidak kita menerima pelaksanaan syariat Islam?

“Menerima pelaksanaan syariat Islam bukan bermakna bukan Muslim dipaksa memeluk ajaran Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Beliau menambah lojiknya selama ini jika rakyat boleh menerima dasar dan peraturan digubal British sedangkan semua bukanlah orang British, maka apa masaalahnya jika negara yang majoriti penduduknya Muslim melaksanakan syariat Islam.

Bukankah sistem yang sedia ada itu telah gagal melahirkan sebuah masyarakat yang soleh dan sejahtera? Realiti ini diakui oleh semua sehingga kini YB Karpal Singh juga mencadangkan hukuman yang lebih berat.

Justeru itu, langkah bijak ialah menukar sistem kepada yang lebih baik, adil dan berkesan.

“Perlu diingat bahawa keberkesanan sesuatu jalan penyelesaian bukan hanya dilihat kepada berat dan kerasnya hukuman tersebut tetapi dilihat kepada sejauh mana ia mampu menimbulkan keinsafan dan kesedaran di kalangan masyarakat khasnya penjenayah terbabit
,” kata beliau lagi.

Semalam, Lim yang juga Penasihat DAP berkata hukum hudud dan negara Islam bukan merupakan dasar Pakatan Rakyat (PR).

Lim mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Sehubungan itu Kata Nasruddin, Pemuda PAS, malah seluruh warga pemuda Islam menyokong penuh kenyataan Nik Aziz agar mengambil Islam sebagai jalan penyelesaian terhadap kemelut gejala sosial yang kian membarah mutakhir ini.

Barah sosial atau penyakit masyarakat hari ini adalah berpunca daripada maksiat dan mungkar yang berleluasa, malah perkara ini telah diketahui umum.

“Malangnya masih ramai yang berdegil untuk bertahan di bawah satu sistem yang gagal sejak lebih 50 tahun yang lalu
,” katanya.

Katanya, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mencadangkan supaya pelaksanaan syariat Islam dan hukuman hudud dijalankan sementara pelbagai pihak mula mencari formula bagaimana mahu mengatasi kemelut sosial yang parah ini.

YB Karpal Singh sendiri mencadangkan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas penjenayah yang saya kira jauh lebih berat dari hukuman hudud atau syariat Islam yang ditolak olehnya.

Dewan Pemuda kira inilah masa yang tepat untuk Islam dan syariatnya dilaksanakan.

Kenapa mahu menolak, sedang masyarakat dan negara belum menyaksikan bagaimana syariat Islam beroperasi membetulkan segala sistem nilai dan maruah bangsa yang tercalar teruk pada hari ini?” katanya.

Nasruddin juga berkata sangat tidak adil jika Islam ditolak sementah itu sedang peluang ia membuktikan kemampuan dan keupayaan menyelesaikan barah sosial negara belum diberikan.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS percaya kebaikan sistem syariat Islam sebenarnya disedari oleh semua yang membaca sejarah kerana ia suatu yang praktis bukan teori atau khayalan.

Jika tidak masakan YB Lim Guan Eng mahu menjadikan pentadbirannya mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz sedang beliau sendiri tidak pernah menemui khalifah itu.

Khalifah Umar Abdul Aziz melaksanakan syariat Islam, justeru itulah ia mampu menonjolkan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pentadbiran dan pemerintahannya.

“Kehebatan Khalifah Umar Abdul Aziz dan kecemerlangan pentadbirannya adalah kerana beliau komited dengan pelaksanaan syariat Islam,
” katanya.

Beliau menambah sekiranya pemimpin DAP itu dalam satu masa mahu mencontohi Khalifah Umar dan dalam satu masa lagi sebahagian pemimpin DAP menolak pelaksanaan syariat Islam yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar, itu sebagai satu penyelesaian kepada barah sosial hari ini, maka Pemuda PAS mengira ia satu kekeliruan yang besar.

... malah dilihat tidak wajar dan ia kelihatan seperti retorik atau hipokrit.

“Pemuda PAS berharap semua pihak tidak prejudis terhadap pelaksanaan syariat Islam termasuklah Umno dan BN sendiri selaku pemerintah pada hari ini.

“Islamlah satu-satu penyelesaian yang terbaik untuk konflik dan kemelut yang dihadapi oleh manusia kerana syariat Islam itu datang terus dari Allah, Tuhan yang mencipta manusia,
” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan