Pengikut

Ahad, 30 Mei 2010

PKR Harus Di 'Bedah Siasat'

Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ke-6 yang dilangsungkan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) menyaksikan 38 pembahas meluah rasa terbuku di lubuk hati dengan 'bedah siasat' bagi memantapkan organisasi parti.

Perbahasan ucapan dasar presiden dan usul bermula petang semalam dengan pembuka laluan oleh perwakilan mewakili tuan rumah, anggota parlimen Tanah Merah, Amran Ghani. Setiap pembahas diberi masa 10 minit untuk berhujah.

Pembahas terakhir pada nombor ke-38, perwakilan dari Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussin yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Kongres kali ini menyaksikan perwakilan PKR begitu teruja dengan bait-bait bahasa puitis apabila hampir semua pembahas tampil dengan pantun. Begitu juga ucapan lima perwakilan mewakili kaum pagi semalam bangun bersama rangkap-rangkap pantun.

Situasi itu ternyata berjaya mencuit perwakilan dan pemerhati yang memenuhi ruang tempat berlangsung kongres. Lebih menarik lagi apabila perwakilan bukan Melayu dari kaum Cina, India dan Sikh juga petah berpantun.

Seorang perwakilan merakamkan ucapan tahniah kepada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail kerana berjaya mengadakan kongres yang dianggap terbaik setakad ini.

Selain Dewan Konvensyen, pemerhati dan petugas media disediakan ruang khas yang agak selesa di sebelah dewan utama untuk mengikuti kongres tersebut.

Biar pun terpisah dengan dinding, namun kemudahan televisyen litar yang disedia membolehkan
pemerhati dan petugas media mengikuti kongres tanpa perlu berada di dewan utama. Ruang tempat
petugas media juga disediakan dengan pelbagai juadah makanan.

Selangor jadi tumpuan

Kongres selama dua hari juga menyaksikan keprihatinan tinggi ramai perwakilan terhadap kerajaan negeri Selangor yang diketuai PKR di bawah Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Rata-rata perwakilan berminat menyentuh isu Selangor.

Abas Awang dari Pahang mahu kerajaan Selangor menjanakan modal insan seperti dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerajui Kementerian Pelajaran pada 1988.

"Kepentingan melahirkan modal insan begitu penting bagi melahirkan pemimpin yang mempunyai keteguhan jati diri melalui institusi pendidikan yang ada di Selangor sekarang," katanya yang juga bekas Pengarah Pelajaran Selangor.

Dengan nada berseloroh juga beliau memperli kerajaan Selangor apabila 10 projek yang dikemukakan kepada kerajaan negeri melalui Penasihat Ekonomi Negeri di mana empat ditolak dan enam di KIV.

Wakil Serikandi, Farah Afzan Haridi meluahkan rasa tidak senang apabila mendakwa tidak ada pemimpin daripada Pakatan Rakyat tampil membantu empat pelajar UKM yang sedang berdepan dengan tindakan pihak pentadbir.

Katanya, ketika mereka berdepan dengan kesusahan demi memperjuangkan kebenaran, tidak ada pemimpin Pakatan yang tampil membantu sehingga bertindak bersendirian untuk mengadu kepada Suhakam.

Beliau juga mencadangkan Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Industri Selangor yang diterajui kerajaan negeri mewujudkan modul khas pendidikan mengenai reformasi bagi mendedahkan pelajar tentang sejarah politik negara.

Farah yang lantang bersuara juga mencadangkan diwujudkan sebuah kolej universiti politik khas bagi melahirkan pemimpin pelapis berwibawa di kalangan anak-anak muda PKR pada masa akan datang.

Dekati anak muda

Amiruddin Saari wakil AMK mahu pemimpin PKR tidak hilang fokus bagi mengajak anak-anak muda kekal bersama dengan parti itu dan Pakatan melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan.

"Biar pun ada minat untuk bersama kita, namun masih ada sifat malu-malu mereka untuk menyertai AMK," katanya.

Pada ucapan yang agak teratur dan bersahaja itu Saari menuntut diadakan pilihan raya yang lebih telus dan adil di negara ini, sambil mengemukakan beberapa tuntutan kepada SPR.

Beliau mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletakkan jawatan ekoran dakwaan beberapa salah laku dalam mengendalikan pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu.

Selain itu menuntut diadakan pendaftaran pemilih secara automatik dan SPR diletak di bawah parlimen bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti sekarang.

Perwakilan Terengganu, Dr Sazali Hassan tidak mahu perwakilan PKR menjadi agenda kongres bagi menghentam sesama sendiri kerana musuh sebenarnya ialah Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur.

Beliau juga memberitahu PKR di Besut berjaya mengadakan program bersama PAS dengan pelbagai aktiviti tanpa perlu menunggu arahan daripada presiden kedua-dua parti.

Beliau yang juga seorang doktor perubatan mahu pemimpin PKR Pusat turun ke Terengganu bagi membantu agenda untuk merampas semula negeri itu daripada BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan