Pengikut

Isnin, 6 Julai 2009

Percaya Tuhan atau Hantu



Assalamualaikum warahmatullah...

“Heee…. hantu! Hantu!”, bapa mengacah anak yang bermain di dalam bilik.
“Huaa!!!”, bertaburan si anak melarikan diri kerana takutkan hantu.
Biasalah itu. Cara mudah untuk ibu dan bapa mengawal anak, takutkan mereka dengan hantu.

Walhal si anak bukan pernah melihat hantu. Ibu bapa itu pun berkemungkinan besar tidak pernah bertemu hantu. Tetapi entah mengapa, takut benar si anak dengan hantu, berbakat sungguh si ibu dan bapa menakutkan anak-anak mereka dengan apa yang mereka sendiri tidak pernah lihat, tidak pernah jumpa.

Jika hantu yang tidak pernah diketemui itu, boleh digambarkan dengan begitu kreatif oleh ibu bapa dan anak, mengapa mereka tidak kreatif memperkenalkan kepada si anak, soal TUHAN.
Asyik-asyik hantu. Bagaimana Tuhan?

GHAIB

Sama ada hantu atau Tuhan, kedua-duanya adalah persoalan ghaib. Mempercayai sesuatu yang ghaib itu adalah sulit bagi ahli material, tetapi fitrah bagi yang memahaminya

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)” [Al-Baqarah 2: 55]

Yahudi itu tidak mampu mengimani Allah SWT. Mereka hanya boleh mempercayai apa yang dapat dilihat dengan pancaindera penglihatan mereka. Mereka mahukan Tuhan yang boleh disaksikan oleh mata.

Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam [Al-Maidah 5: 17]

Manakala Nasrani pula bertuhankan manusia berjasad yang bernama al-Masih bin Maryam. Telah kufurlah mereka kerana kepercayaan itu, bahasa al-Masih itu Allah, atau anak Allah.

Yahudi dan Nasrani tidak mampu mengimani Allah kerana cacat mereka pada keupayaan mengimani perkara ghaib, sebagaimana sekalian Majusi, iaitu istilah Syara’ yang merujuk kepada sekalian musyrikin selain Yahudi dan Nasrani.

FITRAH

Lantas kita sampai kepada ingatan Nabi S.A.W. tentang hakikat ini di dalam sepotong hadith yang sering dibaca:

“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi…” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz al-Bukhari)

Ibu bapalah yang berperanan menjadikan anak itu mempercayai Tuhan sama ada secara Yahudi, Nasrani, Majusi, atau kekal di atas fitrah yang asal dan luhur.
Di sinilah timbulnya perbahasan popular semasa, iaitu bagaimana kita mahu memperkenalkan Allah kepada anak-anak? Seminar demi seminar diadakan, dengan maksud mahu menterjemahkan keutamaan Aqidah kepada Allah sebagai asas utama pendidikan, termasuklah kepada anak-anak.

Jika ibu bapa begitu kreatif memperkenalkan hantu kepada anak-anak, bagaimana pula dengan tanggungjawab mereka memperkenalkan Tuhan?

TAUHID UNTUK SI ANAK

Apakah mahu disulitkan persoalan ini dengan mencari formula menterjemahkan perbahasan Sifat 20 kepada si anak kecil? Apakah mahu dipeningkan persoalan ini dengan mencari formula menterjemahkan perbahasan Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT kepada si anak?

Apabila Nabi SAW telah memperingatkan bahawa anak-anak itu lahir di atas fitrah, maka fahamlah kita bahawa sebenarnya keupayaan mengimani Allah SWT oleh anak-anak kecil ini adalah sebahagian daripada fitrah itu. Anak-anak sudah secara fitrahnya bersedia dan mampu mengimani Allah sebagai Tuhan. Itu fitrah mereka.

Maka ibu bapa tidak perlu memeningkan kepala mencari formula mahu menyedarkan si anak kecil tentang apa atau siapa itu Tuhan, kerana anak-anak dengan fitrah mereka, sudah pun mengimaninya tanpa kita sedar. Lantas tugas ibu bapa ialah memupuk dan memperkembangkannya, tetapi harus didahului dengan suatu peringatan,

JANGAN DIROSAKKAN FITRAH ITU.

Jangan dirosakkan kesediaan anak-anak untuk mengimani Allah. Salah satu cara fitrah itu dirosakkan oleh si ibu dan si bapa ialah apabila kesediaan anak mengimani TUHAN, digantikan dengan HANTU.

TIDAK TAHU SYAK DAN WAHAM

Anak-anak bukan makhluk yang ada upaya syak dan waham. Itu penyakit orang dewasa. Anak-anak itu berada di dalam mood percaya atau tidak percaya. Itu sahaja. Apa sahaja yang ditanam oleh ibu bapa, itulah yang menjadi kepercayaan si anak. Jika mahu anak percayakan Tuhan dan terus mengimani-Nya, maka pupuklah kepercayaan itu dengan menyuburkan fitrah mereka kepada mempercayai Allah sebagai Tuhan, bukannya si anu si anu sebagai hantu
“Kalau kita buat baik, Allah sayang. Allah suka anak yang buat baik kepada ibu bapa”,

Cara yang mudah untuk memberitahu kepada anak-anak.
Setiap kali kita bercakap tentang Allah dan tentang syaitan kepada anak-anak, mereka menerima dan kemudian bercerita kembali dengan penuh yakin.

Sama juga jika kita bercakap tentang hantu kepada mereka. Yakin juga
Maka, binalah kepercayaan anak-anak kepada Allah sebagai Tuhan dengan memupuk keyakinan mereka. Mereka adalah makhluk yang yakin, maka peliharalah keyakinan anak-anak agar terdorong kepada yang Haq, hinggalah mereka mencecah dewasa. Ketika anak meningkat dewasa dan terdedah kepada pelbagai cabaran, maka haruslah kepercayaan itu diperkemaskan dengan reasoning dan soal jawab yang sesuai dengan tahap ketika itu.
Sesungguhnya, sikap ibu bapa yang lebih banyak menyebut HANTU berbanding TUHAN kepada anak-anak kecil mereka, adalah perbuatan yang mendorong anak itu kepada Yahudi, Nasrani juga Majusi.

HARRY PORTER

Di negara Barat, era semenjak tahun 2000 memperlihatkan bagaimana kemunculan filem-filem fantasi sama ada ala-ala Harry Potter, mahu pun filem seram berkenaan hantu dan syaitan semakin popular dan menjadi-jadi. Tentu sahaja di kaca mata kita, ia suatu perkembangan yang tidak sesuai dengan nilai kita sebagai Muslim. Tetapi pengamatan yang lebih teliti, akan memperlihatakan bahawa kemunculan filem fantasi seperti ini, sebenarnya adalah kesan daripada krisis dualisma yang membelenggu mereka sejak sekian lama.

Kehidupan yang sangat materialistik, telah begitu lama menjadikan jiwa masyarakat Barat ditimpa kemarau. Mereka hilang daya melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, lantas seiringan dengan itu, mereka gagal mengimani apa yang berada di luar capaian deria manusia. Mereka hilang upaya memahami Tuhan, kehidupan selepas kematian dan segala-gala yang ghaib sifatnya.

Tatkala Intellectual Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ) sudah tidak lagi mampu berdiri sebagai sumber kekuatan dan kecemerlangan mereka, masyarakat Barat sedang bertatih untuk mencari panduan di dalam Spiritual Quotient (SQ) mereka.
Kemunculan banyaknya filem hantu dan syaitan di Barat adalah eksplorasi mereka terhadap dunia Spiritual.

Jika Barat terbelenggu dengan hantu kerana mencari Tuhan, mahukah kita sekapal dengan mereka dalam mengelirukan anak di antara HANTU dan TUHAN?
“Eee… bapa takut Tuhan!”Kan lebih sedap dan fitrah bunyinya!

Sekian Dari saya –Amir (AMK) Angkatan Muda KeADILan Ptg. Pauh

Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah akibat kejahilan saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah,Wassalamualaikum warahmatullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan