Pengikut

Isnin, 14 Mei 2012

UMNO patut berhimpun sekali lagi

Saya mencadangkan supaya UMNO mengadakan perhimpunan seperti yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 11hb Mei yang lepas sekali lagi. Pada perhimpunan UMNO di Bukit Jalil baru-baru ini seramai 100,000 orang telah dapat dihimpunkan oleh Najib untuk menunjukkan sokongan ramai terhadap UMNO dan BN.

Saya kira UMNO perlu melakukannya sekali lagi dan himpunkan seramai 2 juta manusia untuk menyamai ‘equation’ himpunan Bersih 3.0 yang dihadiri oleh 300,000 orang pada 28hb April yang lalu. Lain-lain perkataan hanya himpunan 2 juta rakyat sahaja boleh menyamai kekuatan 300,000 kehadiran dalam himpunan Bersih itu untuk mendapat ‘legitimacy’ sokongan rakyat. DAN dalam perhimpunan itu nanti bawa bersama rakyat dari kaum-kaum lain untuk menyatakan yang UMNO serta BN iu mendapat sokongan rakyat berbilang kaum.

Setakat 100,000 orang yang mampu dihimpunkan oleh UMNO itu sangat tidak seimbang dengan belanja dan kemudahan yang diberikan oleh UMNO kepada siapa yang datang untuk berhimpun di Stadium Bukit Jalil itu. Seperti biasa UMNO akan memberikan ‘5-T’ untuk menghimpunkan orang ramai.


Pertamanya mesti ada T-shirt secara percuma.; Keduanya mesti ada Tambang; Ketiganya mesti ada Transport jika tidak diberikan tambang; Keempatnya mesti ada Topi dan yang akhir sekali Tempat Tidur. Jika tidak ada ‘5-T’ ini jangan diharap ramai yang akan keluar untuk berhimpun.

Di IOI Golf and Country Resort begitu ramai peserta himpunan dari Terengganu. Tidak tahu berapa jumlahnya tetapi mereka diangkut dengan 80 buah bas untuk meramaikan peserta Himpunan Ulang Tahun UMNO yang ke 66 itu walaupun parti itu telah mati 24 tahun yang lalu.

Hotel-hotel di Kuala Lumpur telah penuh ditempah oleh UMNO seluruh negara untuk menempatkan peserta yang telah diangkut dengan bas-bas yang di tempah dari seluruh pelusuk tanah air. Pada malam sebelum perhimpunan itu saya telah diberitahu oleh peserta-peserta yang saya kenali yang pusat-pusat hiburan seperti pusat karaoke dan kelab-kelab malam begitu sibuk melayan ramai pelanggan yang akan berhimpun di Stadium Bukit Jalil keesokan harinya.

Agaknya ini lah salah satu dari program transformasi ekonomi negara yang diusulkan oleh Perdana Menteri Najib kita.

Berbeza sangat dengan Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28hb April yang lalu. Bersih 3.0 telah menghimpunkan lautan manusia seramai 300,000 yang datang daripada seluruh pelusuk negara. tanpa dibayar. Mereka datang memakai T-Shirt juga tetapi mereka mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli T-Shirt-T-Shirt tersebut. Bersih juga tidak membayar peserta-pesertanya untuk datang dalam perhimpunan mereka.

Perbezaan yang lebih jelas ialah Bersih 3.0 dihadiri oleh setiap bangsa, Melayu, Cina dan India. Buat pertama kalinya Bersih 3.0 disertai oleh rakyat kelas menengah dan ramai ahli-ahli korporat dan eksekutif-eksekutif dalam sektor swasta yang sebelum ini tidak pernah mengambil tahu untuk berhimpun dan memberikan sokongan kepada himpunan Bersih. Yang pasti sokongan terhadap himpunan Bersih itu adalah sokongan yang ‘legitimate’

Bersih juga mendapat sokongan dari rakyat Malaysia yang tinggal diluar negara dan diberitakan himpunan kecil dan besar telah di adakan di lebih dari 60 lokasi seluruh dunia. Itulah sebabnya saya membuat equation 2 juta himpunan UMNO baru boleh menyamai kekuatan sokongan dari 300,000 peserta himpunan Bersih.

Jika UMNO boleh menghimpunkan seramai 2 juta rakyat, barulah Najib boleh memikirkan untuk memanggil pilihanraya umum yang akan datang. Jika himpunan UMNO sekali lagi di adakan dan datang peserta perhimpunan itu seramai 300,000 dengan tanpa ‘5-T’ tadi barulah Najib cepat-cepat mengadap Yang Di Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda bagi membubarkan parlimen.

Bagi rakyat yang prihatin terhadap kehendak demokrasi seperkara yang dikehendaki oleh rakyat ialah untuk mendapatkan kerajaan yang dipilih secara ‘legitimate’ oleh rakyat negara ini sendiri , bukannya dari pendatang-pendatang asing. Janganlah hendaknya PRU kali ini menjadi medan diantara pilihan rakyat sendiri dengan pilihan pendatang asing pula.

Jika kerajaan ingin menjadi kerajaan yang benar-benar ‘legitimate’ keluarkanlah nama-nama mereka yang tidak layak mengundi dari senarai daftar pengundi. Dapatkanlah kuasa secara ‘legitimate’. Barulah boleh mengaku sebagai kerajaan yang ber ‘moral’ dan ber ‘intergriti’.

Bila rakyat mendapat kepimpinan yang bermoral barulah rakyat hidup selesa dan menjauhi perasaan was-was yang selama ini menghantui perasaan mereka (rakyat). - Aspan Alias

Tiada ulasan:

Catat Ulasan