Pengikut

Jumaat, 18 Mei 2012

Umno berslogan, Pakatan pelaksana

Slogan-slogan politik bercambah-cambah dan slogan-slogan itu bertukar apabila bertukarnya kepimpinan sehinggakan kita sudah kenyang dengan slogan-slogan itu.

Slogan selalunya diperkenalkan oleh seseorang pemimpin itu untuk membezakan ‘brand’ kepimpinan masing-masing. Selalunya ia akan diwar-warkan yang dibawah pimpinannya keadaan itu berbeza dari keadaan yang lazim dialami rakyat di zaman kepimpinan sebelumnya.

Slogan mula bercambah ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja. Apabila Mahathir mengambil alih rakyat telah cuba di dakyahkan sebagai zaman yang amat berbeza dengan pimpinan sebelum beliau.

Gandingan beliau dengan Musa Hitam digambarkan sebagai pimpinan yang sangat berbeza dengan kepimpinan sebelumnya kerana bermula dari beliau zaman itu bermulalah zaman kepimpinan negara diterajui oleh orang biasa. Maka pimpinan itu telah dipanggil sebagai kepimpinan 2M (Mahathir-Musa).

Pimpinan 2M terbengkalai dengan perletakan jawatan Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Februari 1986. Perletakan jawatan

Musa akhirnya membawa kepada pertandingan besar dalam Umno pada tahun berikutnya 1987 di antara gandingan Tengku Razaleigh Hamzah – Musa dan Mahathir – Tun Ghafar Baba.

Apabila Mahathir mula-mula mengambil alih, maka terciptalah slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’. Tetapi slogan ini hanya tinggal slogan kerana masa itu tidak ada yang bersihnya, tidak ada kecekapan dan jauh sekali untuk melihat amanahnya.

Zaman inilah bermulanya rasuah yang begitu hebat dan budaya itu terus diwarisi kepimpinan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, perdana menteri sekarang ini.

Dalam masa yang sama tercipta juga slogan ‘kepimpinan melalui tauladan’ dan inilah satu-satunya slogan yang amat berjaya yang dicipta

Mahathir. Ini adalah kerana segala budaya rasuah itu telah diteladani oleh semua pemimpin setiap peringkat dalam kerajaan dan parti serta pimpinan-pimpinan yang mewarisi kepimpinan Mahathir sehingga sekarang ini.

Semua pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) benar-benar berjaya melaksanakan slogan ini sehinggakan susah untuk mendapatkan kepimpinan yang tidak rasuah.

Semuanya ini adalah hasil dari kempen ‘kepimpinan melalui tauladan’ unjuran Mahathir itu. Di adakan pula slogan ‘penerapan nilai-nilai Islam’ dalam pentadbiran dalam masa yang sama tetapi tidak ada addin keislaman di dalamnya kerana kejayaan slogan kepimpinan melalui teladan tadi.

Tidak faham

Kita terus pula kepada slogan dalam pentadbiran Najib iaitu ‘1Malaysia’ yang masih belum difahami oleh rakyat satu Malaysia ini.

Yang kita lihat hanyalah pin-pin 1Malaysia yang terlekat di dada dan kolor baju-baju pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan sahaja. Yang sedapnya Mahathir sendiri mengaku yang beliau tidak faham tentang slogan ini.

Bagaimana slogan 1Malaysia hendak berjaya sedangkan kepimpinan termasuk Najib yang mencipta slogan itu sendiri bercakap isu rasis apabila bertemu dengan ahli-ahli Umno.

Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tidak menyokong slogan ini kerana beliau secara terbuka telah mengakui yang beliau mengambil sikap Melayu dahulu barulah rakyat yang lain.

Walau bagaimana pun rakyat tidak perlu gusar tentang slogan yang tidak terlaksana oleh penciptanya sendiri. Ada pihak lain yang mampu melaksanakan slogan ciptaan pemimpin-pemimpin Umno itu. Kita tidak payah pergi jauh. Kita tinjau sahaja apa yang dilakukan oleh negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Selangor telah berjaya mempunyai bajet yang seimbang dengan ‘reserve’ hampir RM2 billion. Pulau Pinang telah berjaya untuk menghilangkan budaya rasuah dan telah menunjukkan nilai kesamarataan.

Peruntukkan untuk kegiatan hal ehwal agama Islam sekarang telah meningkat sehingga RM63 juta sedangkan semasa BN memerintah Pulau Pinang, peruntukkannya hanya RM12 juta sahaja.

Skandal kewangan

Tidak ada kedengaran skandal kewangan sehingga RM12 billion seperti isu PKFZ di Selangor sekarang ini atau pun kedapatan pemimpin negeri itu yang telah membina rumah peribadi sehingga RM20 juta di Shah Alam. Tidak ada lagi kedengaran skandal kehilangan RM500 juta wang Yayasan Selangor.

Kedah dan Kelantan juga mempunyai rekod baik dan tidak kedengaran rasuah yang berbillion ringgit berlaku dinegeri-negeri tersebut.
Kedah merupakan salah satu negeri yang mendapat kemasukan pelaburan dalam bidang pembuatan yang besar dan negeri itu adalah salah sebuah dari lima negeri teratas berbanding dengan negeri-negeri tadbiran BN.

Pulai Pinang merupakan negeri yang kedudukan nombor satu dan diikuti oleh Selangor. Sarawak menduduki tempat ketiga dan yang keempat ialah Johor, satau-satunya negeri yang ditadbir BN yang masuk kedalam kategori lima teratas itu.

Dalam kata-kata lain secara ringkasnya jika slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ adalah laungan BN semasa Mahathir menjadi PM dalam senyap-senyap negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyatlah yang menjayakan slogan itu.

Begitu jugalah slogan ‘1Malaysia’ ciptaan Najib, BN tidak mampu melaksanakannya tetapi yang berjaya melaksanakan konsep 1Malaysia itu ialah parti-parti dalam Pakatan kerana setiap bangsa bersatu dan tidak ada parti untuk satu-satu kaum sahaja.

Oleh itu kita nampak dengan jelas yang BN hanya pandai berslogan tetapi Pakatanlah yang mampu melaksanakannya. Kita akui slogan- slogan ciptaan BN itu adalah baik kesemuanya. Hanya mereka tidak mampu melaksanakannya dan ia hanya tinggal retorik kosong BN sahaja.

Maka kita simpulkan sahaja isu ini: BN berslogan PR melaksanakannya. Maka tidak ada lagi masalah pelaksanaan slogan-slogan tersebut apabila Pakatan diberi mandat oleh rakyat semasa pilihan raya umum yang akan datang ini.

Umno dan BN boleh membantu mewujudkan slogan-slogan yang baik semasa jadi pembangkang nanti.

Berilah tugas kepada Pakatan untuk melaksanakannya dengan baik sebagai kerajaan baru yang begitu lama ternanti-nanti saat untuk membetulkan kebobrokan bekas parti pemerintah, iaitu BN yang cemas itu sudah duduk dikerusi pembangkang di semua Dewan-Dewan Legislatif di negara ini.

Sistem dua parti

Apabila perubahan berlaku maka bermula jugalah sistem dua parti yang sangat penting untuk mendapatkan pimpinan yang mengakui yang kuasa dalam negara demokrasi ini terletak ditangan rakyat.

Rakyat tidak payah lagi bersusah payah kerana jika Pakatan tidak dapat melaksanakan tugas seperti yang dijanjikan maka rakyat boleh memberikan kembali mandat itu kembali kepada BN.

Tetapi yang penting sekali kita mesti bermula untuk menunjukkan kepada kepimpinan yang bongkak dengan kuasa itu bahawa rakyat, jika diizin Tuhan, merupakan penentu kepada nasib mereka yang berkuasa. Rakyat boleh menggali dan menganjak pimpinan negara, kerana negara ini sebenarnya adalah kepunyaan rakyat.

Hanya sebelum ini rakyat belum lagi sedar yang kuasa itu adalah kuasa mereka. Baru sekarang mereka (rakyat) sedar yang merekalah yang mesti bertindak untuk melakukan usaha memperbetulkan keadaan negara kita ini

Lagi pun BN sudah terlalu lama memerintah, iaitu selama 55 tahun. Kita mesti ingat jika pokok kelapa itu sudah berumur 55 tahun ia terlalu tinggi dan beruk pun takut untuk memanjatnya. Jika ditebang pokok kelapa yang berumur 55 tahun, umbutnya pun sudah keras dan tidak sedap lagi untuk digulai. -   Aspan Alias

*Penulis ialah ahli DAP dan bekas penjawat awam.

1 ulasan:

  1. Kekejaman Terhadap Orang Muda - ( Lihat sendiri BUKTI, Kenapa kami KELUAR UMNO dan TAKKAN kembali lagi. Buktikan jika ia PALSU )
    1~BUKTI 1 * (MESTI TONTON)
    2~BUKTI 2 * (HOT)
    3~BUKTI 3
    4~BUKTI 4
    5~BUKTI 5 * (HOT)
    6~BUKTI 6
    7~BUKTI 7
    8~BUKTI 8
    9~BUKTI 9
    10~BUKTI 10

    ~ Orang Muda Geng Kita - Usaha Dengan Doa ~



    Kami Mahu Generasi Muda Terengganu Jadi Perdana Menteri Malaysia Ke-7 Sebelum PRU ke-13 Tanpa Perlu Berdolak-dalik!!
    (Bukti kukuh)
    1 ~ http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=32381
    2 ~ http://www.sabahforum.com/forum/sabah-malaysia-international-politics/topic28065.html
    3 ~ http://www.utaraonline.net/v4/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=22146
    4 ~ http://www.selatanonline.net/v1/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=3155







    p/s: Ubahsuai (copy&paste) dari 'Abang Sayang'

    BalasPadam