Pengikut

Isnin, 7 Mei 2012

Budaya lucah perkasakan Umno hari ini?

Media arus perdana seperti akhbar Utusan dan TV3 sekali lagi telah mendepani isu porno yang melucahkan pemikiran rakyat apabila menyiarkan gambar-gambar dalam jamban tahi yang memaparkan kononnya Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR sedang beraksi lucah bersama seorang wanita.

Samada ianya benar atau pun sebaliknya, rasanya tidak wajar akhbar utusan dan TV3 memilih maklumat itu untuk disensasikan semata-mata pelakunya adalah penentang regim UMNO. Itu pun belum tentu kesahihannya! Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak telah menafikan bahawa gambar itu bukanlah dia, dan menyifatkan ia sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, lantas Azmin telah menyaman akhbar utusan sebanyak RM100 juta kerana menyiarkan gambar yang bukan dirinya sebenar.


Jika akhbar utusan dan TV3 merasakan maklumat melucahkan ini sebagai katalis untuk menghadang kerajaan BN dari ditumbangkan oleh gerombolan Pakatan Rakyat menjelang PRU13, maka langkah sedemikian sebenarnya bukan sahaja tidak mampu dilakukan, malah saya berpendapat ia menambahkan lagi kebencian rakyat atas pagar kepada UMNO/BN.

Golongan yang menjadi ‘penentu’ ini rasanya hati mereka tidak tertambat untuk menyukai UMNO/BN sekiranya gambar/video lucah seperti itu menjadi senjata utama mereka untuk membenamkan Pakatan Rakyat. Saya bimbang, kecenderungan nemilih serangan peribadi yang tidak bertapis ini akan menikam diri kita sendiri, kerana strategi seumpama inilah yang telah melumpuhkan kekuatan UMNO sehingga kita tidak berupaya lagi untuk menyekat gelombang rakyat pada PRU12 yang lalu.

Pada PRU yang lepas, ternyata gambar dan video pornografi yang kononnya membabitkan adegan lucah Anwar Ibrahim sebagai bahan untuk menguatkan lagi UMNO, ternyata telah memakan diri. Ternyata rakyat Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan tidak dapat menerima tohmahan sebegini, lalu mereka menghukum regim UMNO/BN. Lantaran itu BN telah kehilangan undi popular di bumi semenanjung, nasib baik ia diselamatkan oleh penyokong-penyokong BN di Negeri Sarawak dan juga Sabah. Akhirnya BN telah kehilangan majoriti 2/3 akibat tersalah langkah menyerang peribadi pemimpin pembangkang, di samping terlalu banyak pula isu penyelewengan dan rasuah pemimpin UMNO/BN yang dipungut oleh pambangkang.

Maka sebab itu, saya merasakan adalah wajar ‘permainan kotor’ atau pun ‘Gutter Politics – Politik Longkang’ seperti ini diBERSIHkan dan diNYAHkan oleh UMNO, kerana menyerang mereka dengan isu lucah akan menjadikan UMNO/BN hari ini sebagai parti ‘VERSI LUCAH – Hanya Untuk Tontonan Dewasa Sahaja!’ Jika UMNO terjadi sedemikian, janganlah dikecam mereka sekiranya mereka berkempen di serata tempat meminta rakyat tidak memilih parti versi lucah ini. Terlalu bannyak bahan cetak rompak yang diambil dari pelucah-pelucah (blogger) yang pro UMNO ini yang diguna pakai oleh akhbar arus perdana, sehingga ia menjadi sumber rujukan utama oleh Ketua-Ketua Pengarang media yang berkenaan untuk dijadikan bahan siaran ampu bodek mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa akhbar Utusan dan TV3 mempunyai pembaca dan penonton yang setia dengan mereka, namun satu hakikat yang agak sukar mereka akui ialah ramai juga yang sedang membenci mereka, malah mungkin ada yang akan mengoyak-ngoyakkan akhbar ini untuk dimasukkan sahaja ke dalam jamban tahi.

Sepatutnya mereka membantu UMNO/BN yang menjadi majikan mereka selama ini tanpa memilih pemberitaan yang melucahkan sehingga anak-anak kecil dan remaja di bawah umur 17 tahun telah dihalang oleh sebahagian besar ibubapa supaya menjauhi akhbar seumpama ini.Diharapkan UMNO tidak hanya diminati oleh penggemar gambar dan video lucah seperti yang diasuh oleh media lucah ini. Saya pun tidak terfikir apakah UMNO akan terdorong dilucahkan semata-mata untuk mengekalkan kuasanya? Apakah UMNO sudah ketandusan modal lagi sehingga sanggup membiarkan isu lucah ini membudayakan gerak kerja kempen untuk menawan hati rakyat? - KL Today

#Penulis adalah Ketua UMNO Cawangan Bukit Wangsa, juga salah seorang AJK UMNO Bahagian Setiawangsa. Beliau memiliki laman web di locengwangsa.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan