Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal utama yang disebut oleh jawatakuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya dan laporan minoriti tidak ditangani termasuk soal daftar pemilih.
"Walapun ada beberapa pindaan kecil berkaitan istilah diluluskan tetapi ternyata PRU akan diadakan kotor dan SPR bersekongkol dalam kerja jijik, kengganan mereka membersihkan daftar pengundi," katanya dalam sidang media petang tadi.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menegaskan sidang mesyuarat dewan rakyat hari ini sepatutnya membuat pindaan berhubung perkara pokok seperti laporan minoriti ataupun sekurang-kurangnya 22 syor PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.
Bagaimanapun, persidangan dewan rakyat masih membincangkan pindaan yang bersifat remeh temeh seperti soal barung (pondok panas), poster, istilah buang undi, istilah jarak dari pusat pengundi dan agen pengiraan undi bagi Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012.
Ahli Parlimen (PAS-Kota Bharu) Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika berbahas turut mempersoalkan bilakah kerajaan akan memasukkan laporan PSC itu di dalam pindaan rang undang-undang itu.
"Apakah syor itu akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum nanti? Nampaknya PSC seperti sandiwara, walaupun hari terakhir kita tidak nampak ada pindaan itu," soalnya.
Ahli Parlimen (DAP-Rasah) Anthony Loke mempertikaikan langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru semalam mengadakan mesyuarat selepas dua minggu laporan PSC diluluskan dalam parlimen.
"SPR hanya mesyuarat semalam, tetapi nampaknya sidang ini tidak sempat. Kalau dewan bubar Jun ini bermakna 22 perkara itu tidak dapat dilaksanakan dalam PRU nanti," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen (PAS-Shah Alam) Abdul Khalid Samad pula mencadangkan agar pindaan hari ini turut mengenakan hukuman kepada pihak seperti memasukkan senarai pengundi hantu, merosakkan dan memasukkan warga asing dalam daftar pemilih.
"Bukanlah orang seperti ini patut dihukum kerana ia bukan sahaja merosakkan sistem pilihan raya dan mengkhianati negara," katanya ketika mencelah perbahasan Wan Rahim.
Ahli Parlimen (PKR-Gombak) Azmin Ali turut mempertikaikan pindaan kepada rang undang-undang kesalahan pilihan raya yang disifatkan membuang masa hanya membahaskan perkara kecil bukannya perkara pokok seperti laporan minoriti PSC.
Manakala Ahli Parlimen (PAS-Kuala Krai) Dr Hatta Ramli menyifatkan pindaan hari ini sia-sia kerana perkara pokok yang harus dibahaskan itulah yang akan menjanjikan pilihan raya yang bersih.
22 syor yang PSC yang diluluskan parlimen antaranya, kerajaan sementara, undi pos kepada petugas media, tarikh pembubaran parlimen, membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun, tempoh berkempen dan akses kepada media yang adil.
Sumber - HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan