Pengikut

Rabu, 4 April 2012

Pertahan hak rakyat melalui Bersih 3.0 - Jingga13

NGO, Jingga 13 hari ini menyambut baik langkah untuk menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini bagi mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil.

“Ini berikutan kekecewaan rakyat terhadap salahlaku dan percubaan terang-terangan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) bagi mengelirukan daftar pemilih induk.

“Sudah terbukti secara terang-terangan bahawa terdapat usaha tersusun untuk mengekalkan Umno-Barisan Nasional di Putrajaya walaupun jelas gelombang rakyat sudah menolak mereka,” kata Setiausahanya Vickneswaran Krishnan dalam satu kenyataan media.

Beliau merujuk kepada keputusan yang dicapai Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 untuk menganjurkan satu lagi perhimpunan dalam mesyuaratnya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di Kuala Lumpur.

Katanya, Jingga 13 mempersoalkan integriti Pengerusi SPR yang dilihat bersekongkol dengan penipuan tersebut dan usaha untuk membersihkan senarai daftar pemilih induk itu tidak serius dilakukan dan bantahan demi bantahan dibiarkan berlalu tanpa tindakan tegas.

“Jingga 13 juga menyelar SPR yang tidak mengendahkan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang dilangsungkan Julai lalu dan hanya membenarkan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang,” jelas beliau.

Daftar pemilih induk meragukan

Mengenai daftar pemilih, beliau menyoal “adakah relevan penggunaan dakwat kekal ini jika daftar pemilih induk meragukan dengan data -data yang penuh pembohongan dan berat sebelah seperti yang didedahkan oleh Dr Ong Kian Meng dari UCSI?

“Maka, adalah menjadi kewajiban rakyat Malaysia untuk turun ke Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April, jam 2.00 petang di Dataran Merdeka dengan tema ‘Duduk Bantah’.

“Kita mendesak SPR dan kerajaan Malaysia mengembalikan hak rakyat mendapatkan satu pilihan raya bersih dan adil seperti yang sepatutnya,” tegas beliau.

Justeru katanya, “Jingga 13 akan membantu segala bentuk mobilisasi sedaya upaya kami, menggerakkan kempen-kempen di media sosial mahupun turun ke lapangan bagi memastikan seluruh kekuatan rakyat untuk Duduk Bantah terhadap penipuan ini.

“Kami juga mendesak SPR dan kerajaan Malaysia mendengar dan mengambil tindakan yang penuh bertanggungjawab,” ujar Vickneswaran Krishnan.

-Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan