Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz dan
timbalannya, Mohd Yusof dan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dicabar untuk
menafikan mereka bukan ahli Umno bagi membuktikan benar-benar
berkecuali.
Pakatan Rakyat (PR) membangkitkan perkara ini ketika desas-desus
menyebut Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu
terdekat sementara membangkitkan ketelusan SPR dalam mengendalikan
pilihan raya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada
dasarnya mana-mana ahli panel SPR sepatutnya tidak menganggotai parti
politik supaya mereka kelihatan berkecuali dan dapat bertindak tanpa
condong kepada mana-mana pihak.
Sehubungan itu kata Saifuddin, beliau mempunyai bukti kukuh mengenai
keanggotaan mereka dalam Umno - parti teras Barisan Nasional (BN).
“Saya tahu Aziz ahli Umno, cawangan mana, nombor ahli Umno. Satu-satu
SPR di dunia, ketua dan timbalannya secara rasmi menjadi ahli politik
yang bertanding dalam pilihan raya.
“Mereka patut lepaslah (keahlian dalam Umno), jangan ada sekelumit
prejudis dan prasangka bahawa SPR ini berpihak kepada mana-mana parti
politik,” katanya.
“Saya juga ada maklumat di mana cawangan mana Tan Sri Aziz dan
timbalannya (Wan Ahmad) menjadi ahli (Umno),” kata beliau dalam satu
temu bual eksklusif dengan Sinar Harian di pejabatnya, semalam.
“Saya minta, esok, mereka menafikan yang mereka bukan ahli Umno. Jika
tidak, saya akan dedahkan di cawangan mana mereka menjadi ahli Umno,”
katanya lagi.
Saifuddin berkata, kedua-dua Abdul Aziz dan Wan Ahmad seharusnya telah
meletakkan jawatan dalam parti sebaik sahaja dilantik ke jawatan penting
agensi pengendali pilihan raya itu.
“Kalau ya pun, hati kecil biarlah dapat bersuara... dalam menguruskan SPR, pihak berkepentingan adalah rakyat,” katanya.
Dalam hal ini, katanya, beliau menghormati pendirian Speaker Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang melepaskan jawatan dalam parti
sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Marudu , apabila dilantik ke jawatan
itu.
Kata Saifuddin, Pandikar sendiri ada memaklumkan perkara itu kepadanya
dan sewajarnya Abdul Aziz dan Wan Ahmad mengikut jejak langkah Speaker
Dewan Rakyat.
“Itu (jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR) bukan jawatan
politik, Agong yang lantik, mereka masih ahli Umno yang sah, saya minta
mereka menafikan perkara tersebut,” katanya.
Pandikar dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat empat tahun lalu.
Pandikar dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat empat tahun lalu.
Abdul Aziz menjadi Pengerusi SPR pada Januari 2009 manakala Wan Ahmad pula kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum 2008.
Sumber - SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan