Pengikut

Sabtu, 7 April 2012

Nik Aziz dibenar keluar hospital

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dibenarkan keluar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Jantung (CCU) sejak Khamis lalu.

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Mursyidul Am Pas berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang jam 10 pagi tadi.

“Alhamdulillah, kesihatan beliau semakin baik dan telah dibenarkan pulang, cuma beliau sedikit keletihan serta memerlukan banyak rehat.

“Saya juga bersyukur dengan keadaan beliau dan berharap Mursyidul Am Pas dapat meneruskan khidmatnya kepada Islam dan rakyat,” kata beliau dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Nik Aziz, 81, mengadu sakit dada selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim dan dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

Pada Ogos 2010, Nik Abdul Aziz turut mendapatkan rawatan di hospital sama kerana saluran jantungnya tersumbat.

Sementara itu, pada 8 Disember lalu Nik Abdul Aziz telah dimasukkan ke hospital lebih lima hari kerana masalah tulang belakang dan kemudiannya turut dimasukkan di hospital yang sama, pada bulan sama, selepas mengadu mengalami keletihan.

Walaupun keadaan kesihatan tidak memuaskan sehingga mendapat tekanan pelbagai pihak, Nik Abdul Aziz mengesahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sumber - SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan