Meskipun mengakui masih bersama-sama Umno, namun anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar berkata beliau sudah tidak sanggup melihat sistem pilihan raya diperkotak-katikkan Umno BN semata-mata untuk mengekalkan kuasa.
Menyentuh mengenai isu pemberian kerakyatan kepada warga asing, Tamrin yang pertama kali muncul di pentas Pakatan Rakyat berkata, beliau sangat sedih apabila kerajaan sanggup 'menjual' negara kepada warga asing.

"Berpuluh ribu rakyat asing diberi kad pengenalan. Bermakna kita sanggup menjual negara kita ini semata-mata nak menang.
"Saya boleh nyatakan, kerana nak menang kita sanggup jual negara," kata beliau sewaktu berucap di Ceramah Countdown 10 hari Bersih 3.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.
Tamrin juga menyifatkan rakyat yang menyokong dan menggerakkan Bersih 3.0 sebagai wira kerana berjuang untuk membersihkan pilihan raya yang kotor.
"Tuan-tuan hari ini merupakan wira yang nak perjuangkan supaya negara kita tak terjual kepada rakyat asing.
Sementara itu, bekas pimpinan dan ahli Umno selama 56 tahun, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir menyatakan kesediaannya untuk sama-sama menyertai Duduk Bantah.
Beliau berkata, kewujudan Bersih 3.0 selepas Bersih 1 pada 2007 dan Bersih 2.0 tahun lepas sangat perlu kerana kerajaan tidak menggunakan sepenuhnya ruang demokrasi yang ada.
"Malaysia negara demokrasi yang dipunyai rakyat. Hak yang paling penting dalam negara demokrasi ialah rakyat boleh pilih kerajaan mereka yang benar-benar bersih, telus dan adil. Tapi Umno lupa perkara ini.
"Kalau tak ada pilihan raya bersih kita bukan negara demokrasi," katanya.
Beliau juga menegaskan, pilihan raya tidak boleh diadakan selagi media tidak bebas.
Katanya, kerajaan bertindak seolah-olah media milik mereka sahaja, tanpa memberi ruang kepada pembangkang.
"Untuk pilihan raya bersih media mesti adil. Dalam pilihan raya 2008 walaupun dalam keadaan (PR) tak ada duit tak boleh akses media tapi hampir 48 peratus rakyat undi Pakatan Rakyat
"Semua radio, televisyen, suratkhabar ada satu suara sahaja iaitu suara kerajaan.

Biarlah kita turun ramai-ramai 28 haribulan ini dan saya akan ada bersama," katanya disambut tepukan gemuruh.
Beliau turut disarungkan t-shirt Bersih 3.0 oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diiringi lagu dan maskot kuning Jang Ubah.
Sumber - HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan