Pengikut

Khamis, 12 April 2012

Artis masuk Umno sebab nak balas budi?

Penyertaan artis dan selebriti dalam Umno membuktikan bahawa mereka mempunyai kesedaran politik dan mahu mempertahan apa yang mereka nikmati sekarang, kata Pengerusi Tetap Umno, Datuk Badruddin Amiruldin.

Beliau berkata, secara tidak langsung ia juga menterjemahkan rasa terima kasih mereka kepada kerajaan yang selama ini membela nasib mereka menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Sememangnya, apabila ada antara kumpulan selebriti yang menyertai Umno, ia membuktikan bahawa mereka memahami perjuangan Umno dan mereka juga merasai dan menikmati hasilnya.

"Sebagai membalas budi kerajaan yang banyak membantu mereka menerusi filem dan persembahan, maka mereka mengambil keputusan untuk menyertai Umno dan mereka mahu mempertahankan apa yang mereka nikmati sekarang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Badruddin berharap artis dan selebriti yang mempunyai ramai peminat di seluruh tanah air mampu berperanan untuk menerangkan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional.

"Kita tahu golongan selebriti ini mempunyai ramai peminat dan penyokong. Jadi mereka mempunyai peranan tersendiri, sekali gus menarik sokongan peminat mereka terhadap Umno," katanya.
Antara selebriti yang menyertai Umno adalah Tan Sri Jins Samsudin, Jamal Abdillah, Datuk AC Mizal dan isteri Datin Emylia Rosnaida, Afdlin Shauki Aksan, Harun Salim Bachik, Zed Zaidi, Rashdan Baba, Ezani Nizarif, Haris Kool dan Adam AF.

Badruddin berkata penyertaan selebriti dalam mana-mana parti politik sama ada BN atau pembangkang bergantung kepada penilaian masing-masing.

"Cuma saya boleh cakap, bagi mereka yang masuk kem di 'sebelah sana', mereka mungkin adalah orang yang kecewa, yang merasakan diri mereka tidak diberi perhatian sewajarnya.

"Tetapi kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang adil dan saksama," katanya.

Sumber - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan