Pengikut

Khamis, 8 Mac 2012

Skim 1Care: Project BN untuk rompak duit rakyat

Cadangan skim penjagaan kesihatan (1Care for 1Malaysia) adalah satu lagi rancangan besar untuk merompak rakyat yang sakit dan susah untuk memperkaya kroni-kroni Umno.

“Semasa menyediakan cadangan skim ini kerajaan tidak berunding dan berdialog dengan pihak berkepentingan. Ini mengesahkan fakta bahawa kerajaan tidak mengambil kira masalah rakyat biasa,” kata Senator Ramakrishnan.

Beliau berkata kerajaan seolah-olah lebih prihatin untuk menjaga atau melindungi kontrak lumayan kroni dan pemimpin Umno.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, beliau menegaskan, “setiap hari rakyat Malaysia melihat satu skandal demi satu skandal yang lain.

“Skandal RM250 juta Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Lebuhraya Pantai Barat dengan 60 tahun konsesi yang membebankan pengguna dan pembalakan haram bernilai RM900 juta setahun adalah senarai terbaru skandal yang seolah-olah tidak merisaukan kerajaan.

“Sekarang kerajaan mahu merompak rakyat yang sakit dan miskin dengan skim 1Care for 1Malaysia,” katanya.

Dalam Bajet 2012, Menteri Kewangan memperuntukkan RM17 bilion daripada RM233 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk menyediakan penjagaan kesihatan.

“Peruntukan ini termasuk RM8 bilion untuk pembayaran emolumen dan RM6.61 billion bagi pembelian bekalan dan perkhidmatan seperti ubat-ubatan, barang-barang kegunaan, penyelenggaraan dan utiliti serta bakinya untuk pembangunan penjagaan kesihatan seperti membina hospital-hospital baru,” ulas Ramakrishnan.

Ramakrishnan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menjelaskan, projek-projek hospital seperti pembinaan hospital di Shah Alam bernilai RM482 juta yang terbengkalai masih terus diberikan kepada kroni Umno melalui rundingan terus.

Kerajaan tidak ada dana

“Namun begitu, kerajaan tidak mempunyai dana untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang sempurna kepada rakyat Malaysia,” terang beliau.

Menurut beliau, pada tahun lepas Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa sebanyak RM5.51 bilion dibelanjakan ke atas pembayaran yang tiada dalam senarai (unbudgeted) disebabkan pembelian barangan dan perkhidmatan yang berkualiti rendah dan pembelian balik, penalti yang dibayar kerana kecuaian dan cukai kerajaan yang tidak dikutip pada tahun 2010.

Di Malaysia katanya, setiap kali sesuatu projek diswastakan ia bukan membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

“Sebaliknya kita yang perlu membayar lebih seperti bil elektrik, setem pos, bil telefon, jalan bertol dan bil penyelenggaraan air kumbahan

Indah Water adalah merupakan beberapa contoh yang amat nyata membebankan rakyat.

Menurutnya, Malaysia berada pada kedudukan 151 daripada 193 negara dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan mengikut peratusan daripada KDNK di antara tahun 2000-2005.

“Perbelanjaan penjagaan kesihatan kita adalah sekitar 4-5% daripada KDNK setiap tahun. Ini menunjukkan Malaysia adalah salah satu daripada negara-negara yang kurang melabur (under invest) untuk kesihatan rakyat. Malaysia berada di kedudukan ke-90 dalam jangka hayat yang sihat,” tambahnya.

Secara amnya, Malaysia kurang berprestasi (underperformed) dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada rakyat.

“Pencapaian sistem kesihatan dan prestasi Malaysia adalah pada kedudukan 89 daripada 191 negara. Oleh itu, kita mesti melabur dan meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam sistem perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Kerajaan lepas tanggungjawab

Dengan meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan, kerajaan melepaskan tanggungjawab membayarnya kepada rakyat yang sudah dibebani dengan kenaikan kos sara hidup dan gaji yang tidak dinaikkan.

Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dan sumber manusia mampu menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik tanpa terus membebankan rakyat.

“Sekiranya kerajaan melaksanakan skim 1Care, apa yang akan berlaku kepada orang-orang yang menganggur, miskin dan orang-orang tua? Di mana mereka akan pergi untuk mendapatkan penjagaan kesihatan?

“Di bawah skim 1Care, kerajaan mahu menetapkan pesakit hanya berjumpa seorang doktor dan pesakit tidak akan dapat berjumpa dengan doktor yang lain.

“Selain itu, pesakit hanya akan dapat berjumpa doktor enam kali setahun dan kerajaan mahu kita membayar 10 peratus daripada pendapatan kita setiap bulan untuk insurans ini,” tambahnya.

Beliau menegaskan, “sudahlah pendapatan pekerja-pekerja miskin telah ditekan oleh kehadiran berjuta-juta pekerja asing. Malah 40% tenaga kerja Malaysia adalah pekerja asing dan 34% pekerja Malaysia hidup dalam kemiskinan tegar.

“Bagaimana mereka akan membayar untuk penjagaan kesihatan?,” soal beliau.

Menurut Ramakrishnan, Malaysia mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di dunia sebelum tahun 1980-an.

“Tetapi apabila ghairah dengan dasar penswastaan yang bermula semasa di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir

Mohamad maka semuanya gagal dan merugikan. Kemudian tumpuan beralih kepada memperkayakan kroni Umno yang tamak.

“Kerajaan telah mengabaikan tanggungjawab sosialnya demi untuk melahirkan jutawan-jutawan Bumiputra. Tetapi pada hakikatnya orang

Melayu yang miskin terus dibebani untuk mengkayakan beberapa jutawan Umnoputra. Semua program transformasi Perdana Menteri hanyalah cakap besar tanpa ada hasil.

“Defisit bajet yang kita alami selama 15 tahun berturut-turut menunjukkan bahawa kerajaan menyalahgunakan hasil tanpa apa-apa manfaat kepada rakyat.

“Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Najib Tun Abdul Razak sibuk membelanjakan RM500 untuk setiap orang miskin tetapi ramai kaum India yang miskin masih dipinggirkan.

“Umno dan sekutu-sekutunya tiada kesungguhan politik (political will) untuk mengubah penjagaan kesihatan. Mereka hanya memikirkan untuk memperkaya diri mereka sendiri,” jelas Ramakrishnan. - FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan