Pengikut

Khamis, 15 Mac 2012

Skandal NFC: Ramai lagi akan didakwa

Siasatan ke atas skandal syarikat ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) dijangka akan membongkar lebih banyak penyelewengan dan kepincangan syarikat itu yang membabitkan beberapa individu berprofail tinggi.

Selain itu, akhbar New Straits Times melaporkan lebih ramai pegawai kanan dan ahli lembaga pengarah NFC akan didakwa di mahkamah berhubung salah guna dana pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat berkenaan.

Akhbar milik Umno itu memetik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hanya sebagai berkata “kes NFC jauh daripada selesai,” sekali gus membayangkan lebih ramai yang akan didakwa dalam tempoh terdekat.

Selain itu, New Straits Times yang memetik sumber berkata wakil kerajaan dalam lembaga pengarah NFC juga mungkin didakwa di bawah Akta Syarikat 1965 kerana mengabaikan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Awal minggu ini, Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan hampir RM50 juta ringgit manakala isterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil terpaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Salleh menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan di bawah dua pertuduhan utama itu.

NFC menjadi bidasan pembangkang apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan beberapa kelemahan yang menyebabkan syarikat itu tidak mampu memenuhi syarat kontrak yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pada tahun 2007, kerajaan di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi meluluskan pinjaman RM250 juta dengan kadar faedah dua peratus kepada NFC untuk memajukan industri ternakan lembu daging tempatan.

Pakatan Rakyat kemudian mengemukakan dokumen-dokumen untuk menuduh Salleh dan anak-anak beliaunya menggunakan dana itu untuk pelaburan yang tidak ada kena mengena dengan terma pinjaman kerajaan.

Antara lain keluarga Shahrizat dituduh membeli beberapa unit kondominium mewah bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di Singapura dan Kazakhstan, selain membeli tanah di Putrajaya.

Shahrizat yang juga adalah Ketua Wanita Umno menegaskan beliau tidak ada kena mengena dengan NFC namun akan berundur sebagai menteri apabila tempohnya sebagai Senator tamat awal bulan depan. -MK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan