Pengikut

Khamis, 15 Mac 2012

‘Saya tak beli undi seperti pemimpin Umno lain’ – Kadir Sheikh Fadzir

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini menegaskan selama tiga puluh tahun menjadi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, beliau tidak pernah membeli undi pengundi semasa pilihan raya, seperti amalan biasa Umno.

“Saya sangat sensitif apabila tuduhan itu dibuat. Ia sangat menghina penduduk Kulim-Bandar Baharu, walhal mereka menyokong saya selama 30 tahun, dan saya sifatkan mereka sebagai manusia mulia dan intan permata,” ujarnya.

Mengulas pendedahan yang dibuatnya sebelum ini tentang amalan membeli undi oleh Umno, Abdul Kadir berkata, pendedahan itu dibuat beliau untuk kebaikan negara.

“Pandangan saya sebelum ini hanya untuk melengkapkan transformasi politik yang dilaungkan kerajaan, bukan kerana merasa kecewa tidak dilantik memimpin syarikat berkaitan kerajaan.

“Perdana Menteri tidak boleh hanya membuat pengumuman, tanpa disusuli dengan pelaksanaan. Rakyat sekarang sudah pandai dan terdedah dengan pelbagai maklumat”, ujar Abdul Kadir pada sidang medianya di Seri Kembangan.

Beliau juga menjawab tuduhan segelintir pemimpin Umno kononnya beliau kecewa kerana dipinggirkan, dan tidak dilantik menjadi Pengerusi MAS selepas tidak lagi menjadi menteri.

“Saya tidak pernah meminta apa-apa dari pemimpin tertinggi. Saya yakin mereka akan membantu sekiranya saya meminta apa-apa jawatan atau kontrak. Saya dalam Umno cukup lama”, jelas Abdul Kadir.

Beliau juga mengkritik kerajaan Umno BN kerana gagal mengangkat kedudukan ekonomi Melayu ke tahap yang disasarkan, walaupun selepas lebih 50 tahun memerintah.

Akibatnya, terdapat beberapa pemimpin Umno mengancam untuk membawanya ke Jawatankuasa Disiplin Umno.

Abdul Kadir pernah menjadi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu selama 5 penggal, dan memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Menteri Penerangan.

Beliau sekarang adalah Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), badan yang ditubuhkan veteran Umno, Tengku razaleigh Hamzah.

15 Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera pilihanraya BN merasuah pengundi semasa kempen pilihan raya umum.


Sumber: KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan