“Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya ‘sudah terhantuk baru terngadah’ diambil oleh Perdana Menteri hari ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak hari ini bahawa SBPA dimansuhkan, manakala Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan.
Menurut Izzah, pembatalan SBPA itu juga menggambarkan kegagalan kerajaan untuk prihatin terhadap jurang pendapatan penjawat awam, dan mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah.
“Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi pada waktu ini dianggarkan 19.5 kali,” ujarnya.
Sebelum ini, SBPA menerima tentangan hebat, khususnya dari Cuepacs yang tidak bersetuju dengan penyelarasan gaji di bawah skim berkenaan.
Misalnya, pegawai kerajaan berpangkat Turus dan Jusa dikatakan bakal menerima kenaikan gaji sebanyak 500 peratus dan 100 peratus, manakala di peringkat kakitangan pelaksana pula hanya mendapat kenaikan 7 peratus hingga 13 peratus.
Sehubungan itu, Nurul Izzah menuntut prinsip-prinsip yang wajib diterima pakai oleh kerajaan sekiranya SSM diteruskan.
Antaranya, golongan penjawat awam terendah harus menerima gaji sara hidup dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan seperti dicadangkan dalam belanjawan Pakatan Rakyat.
Katanya, ia juga perlu mengambil kira prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
Selain itu katanya, SSM juga perlu disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun, melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.
Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman dilapor berkata, beliau akan membangkitkan beberapa perkara yang belum diputuskan dalam suruhanjaya yang dibentuk itu.
“Kita rasa lega sikitlah dengan adanya suruhanjaya. Kalau tak, kita kena buat jawatankuasa itu, jawatankuasa ini,” katanya dilapor Malaysiakini.
Omar juga berharap kenaikan gaji yang diberikan tidak diikuti dengan kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna. - KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan