Pengikut

Jumaat, 2 Mac 2012

KBS akan taja ceramah Hassan Ali?

Pas mendakwa sebuah unit belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan akan menaja lebih 2,000 siri ceramah Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat parti itu Januari lalu, dalam masa terdekat ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, unit itu yang dinamakan 'cawangan strategi urat saraf' tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Saya difahamkan, kos bagi 2,000 siri jelajah itu berjumlah RM30 juta. Hasan Ali diberi tugas untuk mendekati golongan belia dalam siri ceramahnya di seluruh daerah.

"Saya mahu Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan sumber peruntukan itu, kerana cawangan strategi urat saraf itu tidak diiktiraf JBA," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.

Mahfuz turut tidak menolak Barisan Nasional menggunakan Hasan bagi mendekati kumpulan belia sebagai persediaan pilihan raya akan datang.

"Kajian telah menunjukkan, sejak PRU 2008, 65 peratus hingga 75 peratus pengundi muda mula beralih arah kepada pembangkang.

"BN sedar hakikat ini, maka mereka menggunakan Hasan Ali untuk mengubah persepsi golongan muda ini," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena enggan mendedahkan sumber atau bukti yang diperolehinya kerana beliau terlebih dahulu mahu penjelasan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan.

"Saya nak tengok mereka jawap apa... Apakah programnya, siapa, saya akan dedahkan pada sesi parlimen akan datang.

"Saya juga percaya selepas saya mendedahkan perkara ini, kemungkin siri jelajah itu akan dihenti atau dilakukan secara senyap-senyap," katanya.

Menurut Mahfuz (kanan), banyak peruntukan di bawah KBS untuk kepentingan belia tapi hakikatnya cawangan itu digunakan untuk tujuan politik, bagi tujuan pilihan raya dengan mewujudkan unit-unit tertentu dalam kementerian.
"Saya angap ini satu penyelewengan apabila mengambil peruntukan dari bahagian lain.

"Semasa pilihan raya Sarawak, cawangan ini bermukim di Sarawak selama tiga bulan dan mengadakan pelbagai program gerak saraf belia yang memakan belanja sehingga RM40 juta. Saya minta Menteri Belia dan Sukan jelaskan perkara ini," katanya.

Beliau turut meminta mempersoalkan, pembatalan Karnival Belia Kreatif 2012 yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Febuari lalu.

"Karnival ini telah di iklan secara meluas di media massa tapi akhirnya dibatalkan. Kenapa program ini dibatalkan dan berapa pula kos yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah pelbagai promosi telah dilakukan?" soalnya.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan menteri berkenaan tentang kehilangan RM8juta peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk belia pada Himpunan Sejuta Belia 2011.

“Saya mendapat maklumat hanya RM2 juta diterima oleh Majlis Belia. KBS memperuntukkan RM2 juta bagi membayar artis K-Pop Super Junior, peruntukkan itu terlalu besar.

"Saya setuju kalau peruntukan untuk pembangunan belia, tapi bukan dalam bentuk program himpunan sehari yang tidak memberi apa-apa kesan, hanya seperti Karnival Jom Heboh dan sebagainya," katanya. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan