Pengikut

Khamis, 16 Februari 2012

Nasib masa depan Shahrizat adalah 'prerogative' - Najib

“Masa depan politik Shahrizat bergantung kepada Perdana Menteri” kata PM Najib. Sesungguhnya itulah hakikatnya jika dipandang dari sudut jawatannya sebagai ahli jemaah kabinet negara. Sememangnya jawatan menteri itu adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri seratus peratus. PM boleh melantik sesiapa sahaja dalam jamaah menteri, waimma melantik orang yang tidak berguna kepada negara dan rakyat.

Begitu juga dengan pemilihan sesiapa yang hendak dilantik sebagai senator yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan. Itu juga adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri. Oleh kerana ‘prerogative’ Perdana Menteri itulah maka kita lihat ramai menteri-menteri kabinet Najib itu ramai dikalangan mereka yang menjadi persoalan dan isu besar dalam politik negara pada hari ini.

Itulah sebabnya kita melihat ramai menteri-menteri yang masuk ke dalam jemaah menteri itu mengikut ‘pintu belakang’ kerana mereka telah ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya yang lalu. Selalunya mereka ditolak oleh rakyat kerana bersebab. Tentulah penolakkan itu disebabkan kerana mereka tidak melepasi tahap kelayakan yang asas tetapi oleh kerana Perdana Menteri tidak menghormati pandangan rakyat, mereka ini dibawa juga ke dalam kabinet oleh Najib dan tentunya Najib mempunyai sebab yang tersendiri membawa yang ‘reject’ ini ke dalam jemaah menteri beliau.

Shahrizat telah ditolak oleh pengundi Lembah Pantai dalam pilihanraya dahulu. Begitu juga Koh Tsu Koon. Tetapi mereka masih dibawa ke dalam kabinet oleh Najib dan memegang jawatan yang tinggi-tinggi. Idris Jala tidak pernah pun menjadi ahli kepada mana-mana parti dan tidak pun tahu rupa borang pencalonan pilihanraya. Raja Nong Cik pun begitu dan beliau kini menjadi Menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan. Ramai lagi ahli-ahli parlimen yang dipilih rakyat tetapi mereka hanya diarah untuk menjadi pak turut sahaja.

Shahrizat yang telah didesak oleh rakan dalam partinya sendiri untuk berundur berkata yang beliau tidak akan meletakkan jawatan, Beliau berkata beliau mempunyai 1.3 juta ahli wanita UMNO dibelakangnya. Saya tidak tahu kenapa dibabitkan ahli-ahli wanita UMNO bila berhadapan dengan skandal wang yang sangat besar oleh keluarganya. Tetapi ramai juga ahli-ahli wanita UMNO yang tidak bersetuju Shahrizat kekal dalam jawatannya kerana ia sudah pasti menjejaskan nama baik UMNO khususnya wanita.

Tetapi oleh kerana itu adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri maka Shahrizat kekal sehingga saat ini sebagai seorang menteri. Najib boleh memilih untuk mengekalkan Shahrizat atau meletakkan beliau ditepian politik perdana negara kita. Najib mempunyai hak untuk mengikut kehendak ramai atau menolak kehendak ramai dikalangan ahli-ahli dan pemimpin UMNO sendiri.

Didalam UMNO apabila seseorang itu sudah mendapat pangkat yang tinggi seperti menteri, kesalahan sebesar mana pun amat susah untuk di buktikan kerana ‘prerogative’ Perdana Menteri tadi. Tetapi mata-mata yang menerima sogokan sebanyak RM200 sangat cepat dan mudah untuk diambil tindakan.

Kalau ditanya beberapa orang menteri yang ada sekarang ini semuanya mahukan supaya Nor Mohammed Yakcop dibersarakan kerana imej beliau yang tidak setaraf dengan jawatan yang beliau pegang. Setiausaha politik beliau ditangkap dengan jumlah wang yang besar dalam rumahnya di Pulau Pinang, tetapi Nor Mohammed Yakcop masih segar bugar dalam kabinet Najib kerana itu adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri.

Justru itu kita telah melihat bukti kukuh yang ‘prerogative’ yang ada pada Perdana Menteri itu hanya diperguna untuk mengekalkan orang yang tidak lagi layak untuk diletakkan dimana-mana. Oleh kerana terlalu ramai pemimpin ‘reject’ dalam pentadbiran kita, maka keseluruhan parti itu juga sudah menjadi parti ‘reject’.

Oleh kerana parti itu sudah menjadi parti ‘reject’ maka pimpinan menggunakan wang ringgit untuk membeli perasaan rakyat dalam kita menghampiri pilihanraya kali ini. Maka beraturlah rakyat lima enam jam untuk mendapatkan jumlah wang sebanyak RM500 kerana kesuntukan dalam kehidupan dan di antaranya yang teramai beratur itu adalah kaum parti pemerintah itu sendiri iaitu Melayu.

Sebegitu lama kita merdeka rakyat masih dibeli dengan wang secebis itu untuk meneruskan kuasa yang mereka sedang pegang dengan penuh keenakan itu. Dalam pada itu beretoriklah pimpinan kita kononnya akan membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2015.

Saya tidak nampak bagaimana ia akan dicapai bila rakyat masih diarak untuk beratur untuk mendapatkan RM500 itu. Ini kah dia salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan rakyat sehingga USD15,000 setahun seperti yang di janjikan oleh pentadbiran Najib kepadarakyat?

Dari RM500 jika nak sampaikan kepada pendapatan tahunan sebanyak US15,000 setahun itu, amat jauh untuk di capai. Tidak tahu lah samada tahun 2015 itu merupakan ‘target’ yang tepat untuk mencapainya. Tetapi kalau ‘target’ itu pada tahun 3015 mungkin matlamat itu akan tercapai.

Tetapi bagi segelintir yang dalam kuasa serta kroni-kroninya, usahkan US15,000 setahun, malahan USD berbillion-billion pun boleh dicapai. Maklum sajalah mereka akan terus bermaharajalela dalam kuasa kerana Perdana Menteri menggunakan ‘prerogative’ beliau untuk mengekalkan mereka yang tidak semenggah ini dalam barisan pimpinan yang tamak haloba tanpa batas itu.

Selagi PM menggunakan ‘prerogative’ beliau untuk mengekalkan pimpinan yang tidak semenggah ini dari menggunakan ‘prerogative’ beliau untuk mengeluarkan mereka dari barisan kabinet negara, selagi itulah kita tidak dapat memperbaiki keadaan yang kita semua hadapi.

Maka kali ini kita mengharapkan rakyat pula untuk menggunakan ‘prerogative’ mereka untuk melakukan pertukaran yang amat diperlukan oleh rakyat kini.-Aspan Alias

Tiada ulasan:

Catat Ulasan