Pengikut

Ahad, 19 Februari 2012

Anwar tersepit antara pendapat peribadi dan pendirian parti?

ANALISIS - Esok, tumpuan banyak pihak sudah pasti beralih kepada pertemuan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang dijangka akan menjelaskan pendirian beliau mengenai isu kontroversi kenyataan didakwa menyokong Israel apabila bertemu dengan Menteri Besar Kelantan di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu diadakan susulan kenyataan dan pendirian Dewan Ulama Pas, yang disampaikan oleh Nik Abdul Aziz minggu. Nik Abdul Aziz berkata, Anwar perlu menarik balik atau menyaman Wall Street Journal jika kenyataan yang disiarkan bulan lalu tidak benar.

Mengulas perkembangan ini, Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya berpendapat, kenyataan Anwar berhubung sokongan terhadap usaha menjaga keselamatan Israel merupakan pandangan peribadi dan tiada kaitan dengan pakatan itu.

Katanya, kenyataan Anwar selaku Ketua Umum PKR juga merupakan pandangan beliau dari posisi PKR. Malah jelas penganalisis ini, setiap parti mempunyai sikap dan pendirian masing-masing dan perkara itu juga berlaku di dalam Barisan Nasional (BN).

"Kesepakatan antara Pas, PKR dan DAP dalam satu pakatan adalah untuk mengurus pentadbiran kerajaan dan negara.

"Setiap parti ada sikap dan pandangan masing-masing. Dari kenyataan Anwar, beliau menyokong pembebasan Palestin, tetapi pada masa sama kemusnahan dan ancaman terhadap Israel perlu dijaga. Ucapannya lebih kepada bersifat menjaga hak-hak kemanusiaan," katanya.

"Anwar perlu perbetulkan (kenyataan). Jika benar kenyataan itu dibuat, dia mesti akui dan menarik balik. Tetapi mampukah Anwar nak buat demikian pada media antarabangsa?," soalnya.

Abu Hassan menegaskan, tiada sebarang keganjilan apabila wujud percanggahan pendapat dan pemikiran bila ia menyentuh isu kemanusiaan. Malah perkara itu tidak akan menjejaskan PR, katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa kenyataan Anwar dan pendirian Malaysia terhadap isu negara Palestin tidak banyak perbezaan.

Jelas beliau, jika Malaysia prihatin dan serius untuk membebaskan Palestin dari penindasan Israel, sudah tentu tentera dihantar bagi berjuang di negara yang dijajah lebih sedekad itu.

"Jika benar kita serius nak tangani Palestin, sudah pasti kita hantar tentera untuk berjuang di Palestin. Tetapi sehingga hari ini, negara tidak menghantar tentera untuk membantu negara itu.

"Maka, walaupun Malaysia sokong pembebasan Palestin, tetapi dengan tidak hantar tentera untuk berperang dan membinasakan Israel, maka ia sama sahaja dengan kenyataan Anwar itu," jelasnya.

Isu semasa sememangnya memanaskan arena politik domestik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. Satu lagi ujian kepada PR, diketuai Anwar dan dianggotai DAP-Pas-PKR, sebelum PRU13. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan