Pengikut

Selasa, 7 Februari 2012

Adakah Dana NFC diseleweng untuk Wanita Umno?

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil dipersoal atas kenyataannya yang didakwa seolah-olah cuba mengheret Wanita Umno dalam kontroversi projek lembu Pusat Fidlot Nasional.

Ketua Koordinator JINGGA 13 Fariz Musa berkata, kenyataan isteri pengerusi National Feedlot Corporation itu dilihat mengalih isu kononnya serangan berkaitan bertujuan menjatuhkan dirinya dan Wanita Umno.

"Persoalan yang timbul adakah dana NFC tersebut juga diseleweng untuk kegunaan Wanita Umno apabila beliau cuba mengheret Wanita Umno sama?" soal NGO yang dekat dengan PKR itu.

Shahrizat kelmarin antaranya dilaporkan berkata, serangan pembangkang terhadapnya dalam isu itu semata-mata untuk melemahkan semangatnya selaku ketua Wanita Umno, yang menjadi kekuatan kepada BN.

Dalam kenyataannya semalam, JINGGA 13 juga mencabar Shahrizat "yang baru pulang daripada mengerjakan umrah" menafikan tidak ada satu sen pun dana kerajaan disalurkan untuk pergerakan yang dipimpinnya itu.

"Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu menjelaskan perkara tersebut dengan penuh telus, jujur dan benar, lebih-lebih lagi beliau dalam masa dua bulan setengah sudah tiga kali ke Mekah," kata Fariz.

Isu NFC muncul apabila apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang bahawa wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import. -M'kini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan