Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua aset Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) telah dibekukan pada masa ini.
Katanya, beliau juga sudah menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk mengkaji apakah penyelesaian yang terbaik dalam isu NFC, dengan siasatan polis yang dijalankan dan masa depan NFC itu sendiri.
NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging
import.
Perdana menteri juga menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti selama tiga minggu adalah keputusan yang tepat.
Katanya, ia akan membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan terhadap Shahrizat sama ada beliau terbabit atau tidak dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Najib berkata ia termasuk siasatan dari awal lagi sama ada Shahrizat sebagai seorang menteri, terbabit dalam proses pemberian projek itu kepada keluarganya.
"Ya, saya dah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan untuk ambil cuti itu adalah keputusan yang tepat untuk membolehkan pihak berkuasa jalankan siasatan yang rapi.
"Dan Datuk Seri Sharizat beritahu dia sanggup disiasat sepenuhnya dan apa yang akan berlaku kemudian tertakluk kepada hasil siasatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Parit Buntar hari ini.
Shahrizat dalam satu kenyataan Khamis lepas mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai semalam daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui suaminya Dr Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.
Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. -M'kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan