Pengikut

Khamis, 26 Januari 2012

Mahasiswa tawar pentas debat Anwar-Najib

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyatakan kesediaan menjadi penganjur debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Majlis Politik Nasional gabungan itu, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor berkata, debat antara kedua pemimpin itu sangat dinanti rakyat apatah lagi golongan mahasiswa.

“Golongan mahasiswa sangat ternanti-nanti pendirian Datuk Seri Najib berkenaan kesediaan beliau untuk menyertai debat tersebut. Datuk Seri Anwar sudah lama menyatakan hasrat beliau.

“Mahasiswa bersedia untuk menjadi penganjur debat ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kajian yang dikendalikan Merdeka Center terhadap Profesional Melayu yang mahu debat antara kedua pemimpin politik tanah air itu direalisasikan.

Menurut Hafizuddin, selain kaedah terbaik meraikan perbezaan, debat juga menjadi medan penilaian bagi masyarakat khususnya anak muda untuk memilih pemerintahan negara kelak.

Melalui beberapa perbincangan dan ‘survey’ di peringkat kepimpinan mahasiswa yang dijalankan mereka, pengesyoran debat disambut baik di peringkat kampus masing-masing.

Dalam pada itu beliau berharap jika debat tersebut berjaya diadakan, ia harus memfokus isu-isu kenegaraan yang melibatkan rakyat dan kebajikan rakyat, dan bukan perdebatan berkenaan isu peribadi.

“Kami juga menolak mana-mana idea yang menyatakan idea debat adalah tidak diguna pakai di Malaysia,” katanya. -KD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan