Pengikut

Ahad, 8 Januari 2012

Gamis menyokong penuh agar mahasiswa dibenar sertai perhimpunan 901

"Mereka turun ke perhimpunan tersebut bukan atas ‘tiket’ mahasiswa tetapi atas ‘tiket’ rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihan raya." -Akram Ikrami

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyokong sepenuhnya kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin membenarkan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyertai himpunan Bebaskan Anwar 901, di parkir Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Presidennya Akram Ikrami Taib Azamudden berkata pihaknya merasakan inilah ruang yang terbaik bagi mahasiswa untuk menilai sistem perundangan dan institusi kehakiman negara.

“Dalam masa yang sama, mereka turun ke perhimpunan tersebut bukan atas ‘tiket’ mahasiswa tetapi atas ‘tiket’ rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Gamis katanya menyarankan kepada seluruh pentadbiran universiti agar menyambut kenyataan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung kebenaran untuk menyertai himpunan 9 Januari nanti.

“Ini sejajar dengan semangat pindaan yang akan berlaku kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Sepatutnya pentadbiran universiti menunjukkan kebersamaan dengan KPT,” ujar beliau.

Tolak fitnah dan konspirasi jahat

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengajak rakyat menyertai himpunan 901 dalam apa jua bentuk penglibatan bagi menyatakan sokongan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita percaya telah lebih sedekad beliau dianiaya oleh kerakusan regim demi mengekalkan kuasa,” kata pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin (gambar) dalam satu kenyataan media yang berasingan.

Ujar beliau, “ayuh bersama SAMM turun memberi sokongan moral dan padu terhadap keperluan sebuah sistem perundangan yang telus tanpa tunduk kepada pihak pemerintah yang terdesak mempertahan kuasa dan tembolok masing-masing.

“Di kesempatan yang ada ini, SAMM sekali lagi menyeru rakyat melaksanakan sedikit tanggungjawab yang melambangkan bangsa Malaysia yang menolak fitnah dan konspirasi jahat,” kata beliau yang juga dikenali sebagai CheguBard.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat penghakiman esok berhubung kes tuduhan liwat membabitkan Anwar dengan bekaspembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan