Komen yang dibuat oleh pemegang akaun AMK_Rembau tersebut telah mendapat reaksi dari pemimpin Umno Bahagian Ampang dengan membuat satu laporan polis terhadap Chegu Bard dan menyebabkan Chegu Bard (gambar) telah ditahan pihak polis.
“Atas sebuah laporan polis dari Umno bahagian Ampang, menyebabkan petang semalam (27 Dis 2011), Chegubard telah ditahan di balai polis Seremban 2 kerana sebuah akaun twitter samaran yang menggunakan nama AMK_Rembau, didapati membuat komen yang kononnya menghina DYMM YDP Agong.
“Penahanan ke atas Chegu Bard adalah kerana kononnya beliau mempunyai hubung kait dengan pemilik akaun twitter AMK_Rembau.
“Sedangkan akaun twitter AMK_Rembau hanya muncul ketika Pemilihan 2010 PKR semata-mata untuk memburuk-burukkan Chegu Bard yang bertanding jawatan Ketua AMK,” tulis beliau dalam blognya itu.
Menurut beliau, pemegang akaun twitter yang dipercayai orang dalaman PKR sendiri dengan menggunakan nama samaran AMK_Rembau dengan sengaja menulis komen melampau supaya mendapat reaksi pemimpin parti lawan dan seterusnya membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Chegu Bard.
“Akaun twitter palsu/samaran AMK_Rembau didapati terus aktif untuk menyerang Chegubard walaupun Pemilihan 2010 telah berakhir kerana banyak masalah pemilihan yang tidak selesai terutamanya dalam isu aduan Chegubard ke atas penyelewengan Pemilihan 2010 PKR.
“Strategi menggunakan akaun palsu/samaran ini dipercayai adalah satu taktik jahat yang berlaku dari kalangan dalaman PKR sendiri.
“Mereka sengaja menulis tweet yang melampau supaya ia disambut oleh Umno dan kesempatan ini diambil oleh pihak polis untuk bertindak ke atas Chegu Bard dan turut menyebabkan Ketua AMK Cabang Rembau berada dalam buruan polis,” tulis beliau lagi.
Meskipun Chegu Bard telah dibebaskan dengan jaminan polis pada lewat petang semalam tetapi telefon bimbit ‘black berry’ milik Chegu Bard telah dirampas pihak polis.
Selain itu, pihak polis juga cuba mendapatkan dua komputer riba iaitu milik Chegu Bard dan milik PKR Cabang Rembau.
Bukti ‘AMK_Rembau’, ‘Umno_Baru’ adalah orang sama
Sementara itu, blog edyesdotcom turut menyiarkan beberapa komen yang dianggapnya sebagai bukti mengesahkan bahawa pemilik akaun tersebut mempunyai kaitan rapat dengan orang-orang kepercayaan pesaing Chegu Bard dalam merebut jawatan Ketua AMK pada Pemilihan 2010 PKR.
Beliau turut mendapati, setelah panik apabila dirinya mula dikesan pemilik akaun tersebut telah menukar nama dari AMK_Rembau kepada Umno_Baru dan berlagak kononnya menyerang Pakatan Rakyat.
Selain menyiarkan bukti bahawa komen-komen oleh AMK_Rembau dan Umno_Baru itu datangnya dari pihak yang sama, edyes turut menyiarkan foto seorang wanita yang diambil dari akaun twitter yang sama bagi memudahkan pihak polis melakukan siasatan.
Dalam isu ini, walaupun Chegu Bard yang sehingga kini masih gagal untuk dihubungi, namun beliau dipercayai akan memberikan komennya dalam jangka masa terdekat. -kltoday
Tiada ulasan:
Catat Ulasan