Pengikut

Sabtu, 3 Disember 2011

Najib gagal atasi rasuah - Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mencapai matlamat anti-rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) apabila Malaysia menduduki tangga ke-60 daripada 183 negara berbanding tangga ke-56 daripada 178 negara tahun lalu seperti yang dilaporkan Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 oleh Transparency Internasional Malaysia (TI-M).

Beliau berkata, CPI negara telah menurun tiga tahun berturut-turut iaitu 4.3 bagi tahun ini berbanding 4.4 pada tahun lepas sedangkan status ekonomi pendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga gagal.

"Pada tahun 2003 apabila bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan, Malaysia berada di tangga ke-37 dalam kaji selidik tersebut yang merangkumi 146 negara," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kaji selidik TI-M terhadap 1,000 orang responden juga mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi yang paling korup dalam negara malah kebanyakan rakyat juga percaya tahap rasuah tidak akan berubah dalam masa tiga tahun akan datang.

Sebelum ini, Timbalan Presiden TI-M, Mohammad Ali Hassan memberitahu, CPI Malaysia terus merosot kerana únsur-unsur kerajaan'yang memudahkan 'rasuah besar' masih lagi tersebar luas.

Katanya, walaupun kejatuhan itu hanya membabitkan 0.1 mata tahun ini, namun ia masih membimbangkan kerana kerajaan telah berusaha memulakan beberapa usaha-usaha anti-rasuah.

"Mengapa ia harus jatuh? Kerajaan telah menganjurkan beberapa program (anti-rasuah). Persepsinya adalah bahawa program itu tidak berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, dakwaan yang begitu berat oleh TI-M jelas menunjukan bahawa serangan ganas Umno dalam Perhimpunan Agungnya yang kini sedang berlangsung terhadap DAP hanya berkisar pada perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor.

Bagaimanapun, jelas Guan Eng, Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mendedahkan sebanyak RM3.7 bilion telah dibelanja lebih oleh jabatan-jabatan kerajaan, skandal lembu dan kondo yang melibatkan keluarga seorang Menteri Persekutuan tidak pula dikritik.

"Rakyat Malaysia menginginkan integriti dan bukan rasuah, tender terbuka dan bukan rundingan terus, tiada kenaikan tol dan bukan kenaikan tol yang membawa manfaat kepada syarikat-syarikat pengendali tol, kebebasan dan bukan penindasan, serta keluhuran undang-undang dan bukan ketidakadilan. Harapan untuk membasmi rasuah tidak akan tercapai selagi kita tidak mengambil langkah untuk menanganinya," ujarnya.

Justeru, Lim berkata, rasuah akan menjadi isu utama dalam pilihan raya umum yang akan datang, di mana rakyat boleh memilih sama ada untuk menyokong BN yang telah mencuri masa depan selama 54 tahun atau untuk menolak BN untuk mencegah masa depan anak-anak daripada dilenyapkan. - SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan