Pengikut

Isnin, 5 Disember 2011

Lebih baik diperkuda dari diperlembukan

Selepas berhadapan dengan serangan bertubi-tubi Umno ketika perhimpunan mereka hujung minggu lalu, Pakatan Rakyat pula menggunakan platform rapat rakyat malam tadi untuk melawan pesaing politiknya dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah gagal memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.

Malah, dengan menggunakan sepenuhnya dakwaan salah guna dana dan penyelewengan dalam projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan kemerosotan indeks persepsi rasuah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyerang balik Umno yang hujung minggu lalu melemparkan siri tuduhan, dakwaan dan tanggapan negatif mengenai mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, tanpa ragu-ragu Umno telah bertindak secara tidak bermoral dengan menyalahgunakan dana yang dikhususkan bagi projek NFC dan kemudian mempertahankan Ketua Wanitanya Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Projek NFC diuruskan oleh keluarganya Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Isu berkenaan dengan masalah dalam NFC pertama kali terdedah menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Kemudian, kepimpinan PKR mendakwa suami Shahrizat, Datuk Mohamed Salleh Ismail telah menggunakan berjuta-juta ringgit dari dana NFC dalam urusan dalam termasuk pembelian dua unit kondominium mewah bernilai RM13.8 juta dan perbelanjaan peribadi.

“Hanya mereka yang tidak bermoral boleh melemparkan kata-kata penghinaan (ke atas Pakatan Rakyat), boleh mencuri RM250 juta, dan kemudian mempertahankan diri mereka.

“Kesalahan pertama adalah salah guna dana dan kedua ialah mempertahankan tindakan mereka,” kata Anwar di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKr Azmin Ali.

Turut hadir Sasterawan Negara Datuk Samad Said, yang muncul ikon baru dalam arena sosiopolitik negara ketika perhimpunan Bersih 2.0 menuntut pembaharuan sistem pilihan raya, Julai lalu.

Hadi juga menyentuh skandal NFC dengan menafikan segala tuduhan dilemparkan oleh Umno ketika perhimpunan agung tahunannya.

Sepanjang hujung minggu lalu, Umno mendakwa PAS dipergunakan oleh DAP manakala MCA pula mengatakan bahawa DAP berada dalam telunjuk PAS.

“PAS diperkudakan oleh DAP. DAP diperkudakan oleh PAS... Umno diperlembukan,” katanya.

“Lebih baik diperkuda daripada diperlembukan kerana kuda untuk perjuangan, lembu untuk disembelih,” kata beliau.

Nik Aziz pula mendakwa Umno mengabaikan prinsip-prinsip Islam ekoran desakan MCA, rakannya dalam BN.

“Umno dipaksa menolak Islam sebab ia mahu memuaskan MCA,” katanya lagi.

Dengan merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah terbitan Transparency International, Lim berkata, negara telah merosot 13 tempat ke kedudukan ke-60 sejak Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009.

“Apakah Umno boleh berubah? Apakah Umno boleh berubah? Kita perlu mengubah Umno. Dan, untuk membawa perubahan, kita perlu memastikan bahawa Datuk Seri Najib menjadi ketua pembangkang selepas pilihan raya umum ke-13.

“Kita boleh memulakan sekarang, bab (dalam sejarah negara) di mana akan ada keadilan, kebebasan dan kemakmuran bagi semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Pakatan Rakyat memulakan siri majlis rapat umum dengan yang pertama di Shah Alam malam tadi.

Dalam Perhimpunan Agung Umno yang berakhir kelmarin, Anwar merupakan antara individu yang dihentam kuat oleh pemimpin dan perwakilan Umno termasuk oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Perhimpunan Umno itu juga seolah-olah menjadikan Anwar sasaran utama ‘balas dendam’ parti itu sepanjang persidangan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno menuduh PAS diperkudakan oleh DAP dan tidak lagi memperjuangkan Islam.

DAP pula dilabel sebagai parti cauvinis Cina yang sedang menggugat kuasa orang Melayu di negara ini.

Selain di Shah Alam malam tadi, majlis seumpama itu juga akan diadakan di Perak pada 10 Disember ini dan di Pulau Pinang pada 18 Disember. - TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan