Pengikut

Selasa, 27 Disember 2011

Seramai 500 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 42 ahli PAS masuk UMNO?

Seramai 500 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ulu Kelang menyertai UMNO Gombak ekoran hilang kepercayaan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak mengotakan apa-apa yang dijanjikan.

Wakil kumpulan berkenaan, Mohd. Jefry Sallehuddin mendakwa, selama 13 tahun bersama Anwar beliau amat memahami perangai Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut.

"Cukuplah setakat ini sahaja, bukan setahun saya mengenali beliau tapi sudah 13 tahun. Anwar cakap lain, buat lain.

"Nasihat saya kepada rakan-rakan lain agar kembali kepada UMNO kerana tidak ada parti kecuali UMNO yang mampu membela bangsa dan negara kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ahli AMK Ulu Kelang sertai UMNO Gombak dan Ikrar Sokong Barisan Nasional (BN) di sini semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamarudin dan Setiausaha Kerja BN Selangor, Datuk Radin Mokhtar Md. Yusof.

Menurut Mohd. Jefry, secara keseluruhan hampir 1,000 ahli AMK akan keluar PKR.

Sementara itu, Abdul Rahim mengucapkan tahniah kepada Mohd. Jefry yang bersedia kembali menyertai UMNO.

42 ahli PAS masuk UMNO Kepala Batas

Insaf dengan nasib dan masa depan orang Melayu di Pulau Pinang, seramai 42 ahli Pas dari Kampung Bakau Tua dekat Penaga di sini mengambil keputusan keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO hari ini.

Tindakan itu diketuai Mohd. Subhie Yaakob, 50, yang turut digelar Mat Sabu Bakau Tua yang mengakui Pas kini terperangkap dengan permainan politik DAP yang ingin menguasai negara ini.

Menurut Subhie, dia telah lama memikirkan mengenai nasib orang Melayu yang sering ditindas oleh pentadbiran DAP namun hanya kini dia memiliki kekuatan untuk keluar daripada Pas dan berjuang bersama-sama UMNO.

"Tindakan saya ini tidak dipengaruhi oleh sesiapa malah tidak dijanjikan apa-apa oleh UMNO namun menyedari hanya parti keramat orang Melayu ini yang mampu menjaga masa depan orang Melayu.

"Oleh itu saya mengambil keputusan untuk keluar daripada Pas dan menyertai UMNO serta menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang untuk merampas kembali Pulau Pinang," katanya yang menjadi ahli Pas sejak 40 tahun lalu.

Subhie menyerahkan borang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO.

Subhie menambah, tindakan itu juga tidak dipengaruhi dengan kemelut yang melanda Pas melibatkan Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa dengan pimpinan dalam Pas.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, penghijrahan 42 ahli Pas tersebut adalah susulan daripada penyertaan 37 pemuda Pas ke dalam UMNO dua bulan lalu.

"Penghijrahan ahli Pas ke dalam UMNO hari ini bukannya modal untuk kita mendabik dada dan berbangga namun memberi kesedaran bahawa ada sesuatu yang tak kena di dalam parti yang kononnya memperjuangkan Islam dan Melayu itu.

"Senario ini adalah 'kesan bebola ais' yang akan menarik lebih ramai ahli Pas untuk menyertai UMNO pada masa depan dan mengukuhkan kedudukan kita menjelang pilihan raya nanti," ujarnya.

Tambah beliau, senario itu juga membuka ruang kepada UMNO Kepala Batas dan Pulau Pinang untuk kembali menjadi kubu kuat parti itu pada pilihan raya umum akan datang. - Utusan Meloya

p/s:Tanda-tanda PRU13 dah dekat...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan