“Daripada rasa lekeh ini lah timbul masalah menggelongsor luruh daripada Islam. Ini kita panggil murtad,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS adalah parti pertama di negara ini yang memperjuangkan Islam.
Jika ada pihak yang mendakwa PAS tidak berusaha menentang murtad, beliau berkata tomahan itu salah kerana penubuhan PAS itu sendiri mahu mempertahankan Islam.
“PAS orang pertama mempertahan Islam.
“Bila Islam itu diperjuangkan maka segala perkara membawa manusia kepada Islam kita akan gunakan dan segala perkara yang memberi mudarat kepada Islam, PAS akan tentang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan pendakwah di negara ini agar jangan hanya melihat tugas dakwah sekadar menyeru masyarakat memakai serban dan jubah, malah lebih penting katanya adalah menegakkan pemerintahan Islam secara keseluruhan.“Sekarang ini golongan pendakwah banyak, tetapi mereka berkisar hanya pada pakai seban sunnah nabi, berjanggut sunnah nabi dan berjubah sunnah nabi.
“Kita tinggal perkara paling penting sekali iaitu memerintah dengan Islam yang juga sunnah nabi. Ekonomi cara Islam, budaya cara Islam, sosial cara Islam dan politik cara Islam,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata PAS konsisten memperjuangkan isu murtad sejak dahulu lagi.
Katanya, sejak 1990, sudah tiga kali PAS membawa undang-undang persendirian mengawal murtad di parlimen.
Bagaimanapun usul yang memerlukan cadangan daripada anggota kabinet itu tidak diangkat sehingga sidang parlimen habis.
Selain itu, ketika isu murtad Noraishah Bukhari, Lina Joy dan Hartina Kamarudin, PAS adalah parti paling hadapan melawan isu itu pada ketika itu bukannya Umno atau mana-mana NGO. -KLT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan