Pengikut

Selasa, 18 Oktober 2011

Najib di cabar debat Belanjawan 2012

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri berdebat secara terbuka berhubung kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012.

Ia berikutan kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam mengkritik belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya ‘Belanjawan Republikan aliran kanan’ yang gagal memahami kehendak rakyat.

“Ini membuktikan Dato’ Seri Najib mengelak dari isu asas yang menjangkiti pentadbiran beliau seumpama tadbir urus yang goyah, rasuah berleluasa dan dasar Barisan Nasional yang memperkaya keluarga dan kroni”

“Justeru saya mengambil peluang ini untuk mempelawa Dato’ Seri Najib Razak berdebat berkaitan kedudukan ekonomi negara dan persoalan berkaitan belanjawan,” kata Anwar ketika mengadakan sidang media di parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, debat tersebut seharusnya disiarkan secara langsung dan ditayangkan melalui televisyen ke seluruh negara.

Kerajaan juga katanya, perlu memberi peluang supaya debat terbuka itu diadakan kerana perbahasan Belanjawan di Parlimen tidak mendapat liputan yang meluas dan rakyat tidak mendapat maklumat mengenainya.

“Ya, memang kita boleh bahaskan dalam Parlimen tetapi ia tertutup dan seolah-olah berbahas dengan orang pekak (tidak didengari),” katanya.

Katanya lagi, Najib selaku menteri kewangan perlu menerima debat tersebut dan tidak ada alasan untuk tidak melakukannya.

“Saya akan bertanggungjawab untuk membahaskan Belanjawan 2012 di atas kapasiti Ketua Pembangkang,”

“Tapi kalau dia hantar Pemuda Umno untuk berdebat, kita hantar pemuda kita lah,” Sindir Anwar ketika ditanya wartawan sekiranya Najib menghantar individu lain bagi tujuan itu.

Anwar dalam sidang media itu berkata, sejak Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga setahun lalu, beliau telah pun mempelawa perdana menteri untuk berdebat mengenainya, namun ditolak.

“Sewajarnya Najib perihatin terhadap kebimbangan meluas berkaitan kenaikan kadar hutang negara, bukannya mengejek kekhuatiran tersebut (berdebat isu Buku Jingga),” ujarnya. - KeadilanDaily



Tiada ulasan:

Catat Ulasan