Pengikut

Khamis, 20 Oktober 2011

Ada yang tak kena dengan HIMPUN

Ahli parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat ada sesuatu yang tidak kena pada Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Shah Alam pada Sabtu ini.

Katanya, walaupun tujuan murni perhimpunan yang bertemakan memelihara aqidah umat Islam itu adalah sesuatu yang wajar namun, beliau berhak untuk berasa bimbang perhimpunan akan lari dari hasrat murni penganjur.

“Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena pada perhimpunan ini bukan kerana usaha mengumpulkan sejuta umat tetapi persolannya ialah sifatnya yang mungkin mengancam usaha-usaha keharmonian hubungan antara agama di negara ini,” katanya yang juga Pengerusi Dialog Antara Agama Rantau Asia Tenggara dipetik oleh Harakahdaily.

Dr Mujahid (kanan) menggariskan lima alasan berhubung kekhuatirannya dalam konteks hubungan antara agama di negara ini.

Katanya, perhimpunan itu diadakan dalam suasana hubungan antara agama di negara ini dalam keadaan rapuh dan apa sahaja suasana permusuhan tidak akan membantu usaha usaha mewujudkan keharmonian hubungan antara agama di negara ini.

Di samping itu, katanya, perhimpunan itu dibimbangi akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama.

“Lebih buruk ia dikhuatiri satu perancangan jahat yang menjadi agenda parti yang terdesak untuk terus berkuasa dengan cara mencetuskan ketegangan,” katanya.

Selain itu, tambahnya nama baik Islam mungkin tercemar dan sekaligus membawa imej Islam sebagai agama permusuhan dan menggalakkan benci membenci antara satu sama lain.

Baginya, tema memelihara aqidah tidak salah tetapi mempersoalkan apakah dengan sekadar perhimpunan akan menyelesaikan masalah.

“Bukankah, dialog antara agama adalah lebih berkesan untuk menegaskan sikap Islam kepada pemurtadan dan isu-isu sensitif yang lain.

“Dan akhirnya saya merakamkan rasa kesal saya terhadap pihak polis yang double standard memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang BERSIH (2.0) untuk berhimpun dalam bilangan peserta yang lebih kecil.

NONE“Jelas ia satu sikap yang di bawah telunjuk pihak tertentu,” katanya.

Himpunan Sejuta Umat pada Sabtu ini selama empat jam dijadualkan bermula pada jam 2 petang dengan tujuan “menyelamatkan akidah umat”.

Lebih daripada 29 NGO telah mengesahkan penyertaan dalam perhimpunan itu. Antara mereka Gabungan Penasyid Malaysia, Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam, dan Persatuan Ulama Malaysia.

Bagaimanapun PAS dan PKR telah mengumumkan keputusan masing-masing untuk tidak menyertainya.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata "PKR bimbang penyertaannya dalam HIMPUN kelak akan dipergunakan dan diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya daripada beberapa parti politik arus perdana." -M'kini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan