Pro Mahasiswa Nasional (Pro M Nasional) menuntut kerajaan BN memberi jaminan penubuhan undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengutamakan hak asasi rakyat.
Menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan ISA sebagai tindakan populis bagi menyelamatkan kedudukan parti pemerintah, Pro M Nasional menempelak sikap ego Najib yang enggan mengaku pemansuhan itu hasil perjuangan rakyat.
Pro M Nasional berpandangan tindakan Najib itu lebih kepada menjawab desakan Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang menentang ISA.
Pengerusinya, Mohd Taufiq Abdul berkata, Najib seharusnya menggunakan sambutan Hari Malaysia untuk mengutamakan kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan parti.
"Pemansuhan ISA dilihat sebagai perisai BN dalam menepis serangan pembangkang.
"Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi sebuah kerajaan menggunakan hari bersejarah demi kepentingan parti sedangkan rakyat menantikan transformasi yang merakyat untuk menaikkan taraf hidup mereka," katanya.
Pro M Nasional sebaliknya mahu kerajaan menjawab segera isu-isu rakyat iaitu taraf hidup, keselamatan, dan isu mahasiswa.
Bagi menyelesaikan isu taraf hidup rakyat, kerajaan digesa melaksanakan akta gaji minima, menyelesaikan kenaikan harga barang termasuk petrol, diesel dan tarif elektrik, mengembalikan hak royalti minyak rakyat Kelantan dan memberikan pendidikan percuma.
Sementara itu, pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang harus dikaji semula.
Tuntut Auku dimansuhkan
Bagi isu mahasiswa pula, Pro M Nasional menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan cas perkhidmatan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.
Semua tuntutan tersebut terkandung dalam memorandum yang gagal diserahkan kepada Perdana Menteri tengahari tadi.
Pihak Pro Mahasiswa Nasional sudah membuat temujanji dengan pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk penyerahan itu namun hari ini tiada wakil yang tampil menerimanya.
Namun mereka dimaklumkan tengahari tadi, kemungkinan ada wakil yang akan menerima memorandum tersebut petang ini.
Turut bersama pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Che Abd Razab, jurucakap SMM, Ahmad Shukri Kamaruddin dan beberapa wakil Persatuan Mahasiswa Islam (PMI). -RM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan