Mohamad mendakwa sejak isu itu muncul semula minggu lalu, pelbagai percanggahan pandangan antara pemimpin Umno turut diketengahkan, menyebabkan parti komponen BN mula meragui pendirian Umno.
“Mungkin pemimpin tertinggi Umno fikir isu hudud boleh kuatkan kembali perpaduan BN.
“Tiba-tiba keris makan tuan apabila MCA dan Gerakan mengugut mahu keluar BN kerana isu hudud,” kata beliau (gambar) dipetik Harakahdaily hari ini.
Mohamad berkata isu hudud membuktikan Umno tidak pernah belajar daripada sejarah.
“Sejak berpuluh-puluh tahun terutama selepas PAS kembali memerintah Kelantan pada 1990, Umno mempermain-mainkan isu hudud untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam kepada PAS.
“Tiba-tiba hari ini, Umno yang ditolak oleh majoriti pengundi bukan Islam,” kata beliau sambil menambah, “lebih buruk lagi, parti-parti di dalam BN pula berbalah sesama sendiri kerana hudud.”
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin parti berkenaan sepatutnya sudah mengetahui pendirian Umno berhubung hukum hudud dan ia tidak perlu dijadikan isu.
Muhyiddin berkata pendirian Umno adalah sama seperti dahulu dan perkara itu sepatutnya tidak berbangkit di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana ia berbeza dengan PAS.
“Isu yang disebutkan oleh Chua tak berbangkit. Jangan timbul syak wasangka dalam pemikiran masyarakat Cina dan lain-lain termasuk masyarakat Islam tentang perkara itu.
“Bagi saya, pendirian yang kita ambil itu bukan baru tetapi sejak beberapa kepimpinan sebelum ini,” katanya mengulas kenyataan Dr Chua bahawa MCA akan keluar daripada BN jika Umno melaksanakan hukum Hudud.
Sehubungan itu tegas Mohamad, PAS tidaklah terdesak untuk menggunakan isu hudud dengan harapan isu interpretasinya terhadap sejarah akan tenggelam ketika Umno dan BN semakin berbalah sesama sendiri.
“Umno dan BN semakin berbalah sesama sendiri kerana tindakan mendakwa saya.
“Bukan setakat kenyataan kenyataan Naib Presiden MCA sahaja yang memberikan gambaran kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tidak cerdik kerana pendakwaan tersebut, malah beberapa tokoh Umno sendiri menemui dan menghubungi saya secara peribadi menyatakan rasa tidak setuju terhadap serangan-serangan seperti histeria semata-mata kerana interpretasi sejarah,” kata beliau.
Semalam, Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, tindakan mendakwa Mohamad boleh memberi negatif tanggapan terhadap kerajaan.
Mohamad seterusnya berkata, walaupun kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad cuba memberikan gambaran yang negatif terhadapnya, “tetapi orang melihat kenyataan bekas Perdana Menteri mendedahkan sifat tidak cerdik kerajaan Najib kerana pendakwaan itu.” -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan