Pengikut

Jumaat, 9 September 2011

Cukai 6%: NGO dan Parti Politik gesa Kerajaan BN batal kenaikan

Pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan, antara lain Angkatan Muda Keadilan berkata pihaknya kesal dengan keputusan syarikat telekomunikasi yang mengumumkan pengenalan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pembelian tambah nilai prabayar dan pek atau kad SIM berkuat kuasa pada 15 September ini.

Ini bererti, pengguna yang membeli tambah nilai prabayar bernilai RM10 selepas ini terpaksa membayar RM10.60 iaitu dengan kos tambahan sebanyak 60 sen.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata alasan syarikat telekomunikasi bahawa caj tambahan sebanyak enam peratus ini merupakan ‘cukai perbelanjaan’ adalah tidak bertanggungjawab kerana ia secara langsung telah menambah beban pengguna terutamanya golongan muda, pelajar universiti, pekerja kilang dan rakyat berpendapatan rendah.

“AMK difahamkan bahawa peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.498 bilion untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2011.

“Nilai keuntungan ini meningkat berbanding RM1.485 bilion dalam tempoh sama tahun lalu dan dijangka akan mencatatkan keuntungan berlipat ganda untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2011 kesan dari pelaksanaan ‘cukai perbelanjaan’ ini,” kata beliau.

Tegas beliau, pelaksanaan cukai ini membuktikan pihak kerajaan tidak serius dalam mengurangkan bebanan rakyat dan ini jelas bertentangan dengan prinsip pentadbiran kerajaan yang kononnya “mendahulukan rakyat”.

“Kerajaan juga kini dilihat hanya bertindak mendahulukan syarikat-syarikat korporat dalam banyak hal dan ini terbukti menerusi pembiayaan subsidi dengan jumlah besar kepada syarikat-syarikat penjana kuasa bebas (IPP).

“Justeru, AMK dengan ini mendesak pihak kerajaan dan syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia supaya mengkaji dan membatalkan semula keputusan ini dengan mengambil kira jumlah keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini serta bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah,” kata beliau.

Presiden Gerakan Suara Anak Muda 1Malaysia Armand Azha Abu Hanifah pula menegaskan, kerajaan harus peka dengan peningkatan cukai enam peratus terhadap kad tambah nilai dan kad SIM.

“Adakah keputusan ini diibuat dengan tergesa-gesa. Penggunanya kebanyakan remaja dan anak muda sekarang ini telah banyak cenderung kepada pembangkang kerana isu remeh macam ini. Adakah pemimpin kerajaan sedar dengan tindakkan ini akan mengganggu dan memalapkan peluang kita mendekati pengundi-pengundi baru yang nyata pertambahan sebanyak 10,000 di setiap Parlimen dan DUN.

“Jika dahulu kita menang tak semua majoriti lebih dari 10,000. Kepada pemimpin fikirkanlah keluhan anak muda yang menjadi tunjang belakang negara. Berubah atau diubah. Harap ada pemimpin kerajaan prihatin dalam isu ini,” katanya.

Ketegasan juga diperlihatkan oleh Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Muhammad Sha’ani Abdullah, yang antara lain berkata, “tindakan pihak syarikat-syarikat telekomunikasi untuk menghentikan menanggung kos cukai perkhidmatan enam peratus dan kenaikan ke atas pelanggan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih mulai 15 September ini adalah satu tindakan yang tidak wajar.”

“... kerana pengguna-pengguna perkhidmatan telekomunikasi tersedia membayar lebih ke atas penggunaan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Kata beliau, sebahagian besar pengguna perkhidmatan telekomunikasi tidak menyedar bahawa caj-caj perkhidmatan panggilan telekomunikasi dikira berdasarkan blok-masa panggilan dalam saat, kebiasaannya satu ‘call block’ bersamaan dengan 30 saat.

Jika caj penggilan adalah 30 sen seminit bermakna perkiraan caj panggilan dikira bagi setiap satu call block ataupun sebahagian darinya, yakni bagi setiap call block 30 saat atau sebahagiannya dikenakan 15 sen.

Walaupun panggilan lima saat, ia dikenakan 15 sen dan jika dalam taburan normal penggunaan perkhidmatan telekomunikasi caj bayaran berlebihan memang terjadi untuk penggunaan kerana blok-masa panggilan ditetapkan sebagai satu ‘call block’ adalah terlalu besar.

“Ini merupakan sebab syarikat telekomunikasi sanggup menangggung kos cukai perkhidmatan lima peratus sebelum ini pada 1 Januari 2011.

“Walau bagaimanapun, tindakan syarikat telekomunikasi untuk menghentikan amalan ini adalh tidak wajar kerana pengguna masih terus membayar caj lebih ke atas penggunaan perkhidmatan sebenar serta ditambah dengan cukai perkhidmatan enam peratus sebagai beban tambahan,” katanya lagi.

Tambah beliau, perkhidmatan komunikasi merupakan satu keperluan asas, malah juga satu hak asasi manusia untuk menjamin pendidikan sejagat, saluran perhubungan untuk pekerjaan, perniagaan dan sebaran maklumat dan pendapat dalam penyertaan politik dan budaya sesuatu komuniti dan negara.

Sehubungan itu kata beliau, Fomca mencadangkan kadar caj dikira berdasarkan tempoh masa panggilan dikurangkan secara berperingkat sehingga ke tahap setiap saat yang merupakan harga patut dibayar oleh pengguna telekomunikasi mudah alih prabayar.

Selain itu katanya, sepanjang proses pengurangan tempoh ‘call block’, perkiraan cukai perkhidmatan ke atas pengguna prabayar dikira sebagai sebahagian daripada kos yang ditanggung oleh pihak syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Pihak Forum Industri Komunikasi dan Multimedia harus melibatkan dalam penetapan semua bentuk kadar baru bagi perkhidmatan komunikasi dan multimedia di bawah peraturan-peraturan Akta Kimunikasi dan Multimedia 1998,” kata Muhammad Sha’ani.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Firdaus Jaafar Pemuda PAS juga membantah keras tindakan kerajaan.
Kata beliau, pihaknya melihat usaha ini menambah bebanan rakyat yang selama ini terseksa dengan pelbagai cukai. 
“Memanglah dari segi nilai, RM0.60 dianggap sedikit dengan tambah nilai RM10, tetapi bagaimana jika seseorang pengguna menambah nilai sebanyak lapan sehingga 10 kali sebulan dengan nilai RM10. Berapakah pula nilai jika 10 juta rakyat Malaysia terpaksa membayar cukai yang sama dalam setahun. Sudah tentu syarikat telekomunikasi ini akan mengaut keuntungan berjuta ringgit,” katanya.

Oleh itu kata beliau, Pemuda PAS menegaskan bahawa sistem komunikasi melalui telefon adalah suatu keperluan terhadap rakyat Malaysia.

“Hakikatnya, segala cukai yang dikenakan amat membebankan rakyat jelata. Kerajaan perlu memikirkan apakah langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan beban rakyat.

“Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar yakin rakyat tidak akan berdiam diri dan membiarkan keadaan ini berlaku. Harus diingat bahawa kebanyakan pengguna prabayar ini adalah di kalangan remaja dan mereka yang ‘celik’ dengan situasi yang berlaku di negara kita sekarang.

“Golongan inilah yang akan menjadi penentu kepada masa depan politik tanah air kita. Dan, mereka ini tidak mudah diperkotak-katikkan dengan perlakuan sombong pemimpin Umno-BN. Dan sudah pastinya dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang adalah masa terbaik untuk mengajar erti kesombongan kerajaan dalam menghayati kesusahan rakyat,” katanya. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan