Pengikut

Selasa, 2 Ogos 2011

PAS mahu Putrajaya benarkan negeri Pakatan import beras

Kelantan mahu Putrajaya mempertimbangkan cadangan agar monopoli import beras Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dipecahkan dan memberi peluang kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengimport sendiri demi kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Datuk Paduka Husam Musa berkata, langkah itu secara tidak langsung akan membantu mengurangkan harga barangan keperluan termasuk beras, gula, tepung dan susu.

“Pada pandangan saya, kerajaan pusat mempunyai kuasa dan cara yang boleh menurunkan harga barang keperluan dengan segera, terutama beras, gula, tepung dan susu, salah satu penyumbang bagi tingginya harga barang-barang ini ialah dasar yang salah yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat sendiri iaitu menentukan import kepada monopoli agensi atau syarikat tertentu.

“Tanpa monopoli ini, harga barang keperluan dapat diturunkan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Husam yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, langkah Putrajaya memberikan kuasa mengimport kepada Bernas sahaja menyebabkan harga beras terlalu mahal kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

Justeru kata beliau, adalah lebih baik sekiranya agensi di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat boleh mengimport beras sendiri.

“Sebagai membuktikan dakwaan saya, Datuk Seri (Najib Razak) boleh menyemak perbandingan harga dunia dan harga yang dikenakan kepada pengguna Malaysia. Sebagai contoh, harga beras gred berkualiti, purata adalah A$SD 650 semetrik tan. Bermakna harganya adalah RM20 setiap sepuluh kilogram. Bandingkan berapa harga yang dikenakan kepada pengguna sekarang?

“Bagi mengukuhkan pandangan saya bahawa harga barangan ini boleh dikurangkan melalui permit import yang tidak eksklusif kepada hanya satu syarikat seperti Bernas, izinkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri, mengimport 500,000 metrik tan beras berkualiti premium untuk jualan di negeri Pakatan Rakyat sebagai langkah permulaan,” katanya.

Tambah Husam, walaupun kerajaan negeri Pakatan Rakyat turut mengimport beras ia tidak akan menjejaskan dua juta metrik tan yang diimport Putrajaya.

“Apa yang kami pohon tidak akan menjejaskan pengguna di negeri lain, insya-Allah ia dapat membantu empat perkara iaitu harga yang lebih murah, kualiti premium, sekuriti bekalan makanan untuk keperluan negara dan tidak membebankan kewangan kerajaan kerana ia tidak memerlukan subsidi,” katanya.

Pada 2009, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pernah menggesa Putrajaya menarik balik Permit Import (AP) Bernas bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Beliau berkata pemberian AP kepada Bernas telah menyebabkan syarikat itu berkuasa melambakkan beras negara luar sekali gus mengancam pasaran beras tempatan.

Tambah Mahfuz, Bernas sebuah syarikat perniagaan yang mengamalkan dasar monopoli yang seratus peratus mementingkan keuntungan berbanding menjaga makanan utama rakyat di negara ini.

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata kontrak Bernas untuk mengimport beras dari luar negara dilanjutkan.

Konsesi selama 10 tahun itu akan tamat pada 2021. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan