Pengikut

Jumaat, 17 Jun 2011

MAIPP: Pemilihan masjid dibatalkan

Pemilihan jawatankuasa kariah masjid bagi sesi 2012-2013 di Pulau Pinang yang menggunakan kaedah pilihan raya dibatalkan. Menurut Berita Harian Online, perkara itu dinyatakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria. Ellias dihubungi selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara pagi ini. Sebelum ini, Bernama melaporkan seramai 4,485 calon telah menawarkan diri untuk mengisi 4,530 jawatan di 151 daripada 200 masjid di Pulau Pinang dalam pemilihan jawatankuasa kariah masjid yang pertama kali diadakan.

Pengundian akan berlangsung semasa mesyuarat agung masjid-masjid berkenaan esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata 34 buah masjid tidak akan mengadakan pemilihan kerana anak-anak kariahnya telah mengadakan kompromi manakala lapan buah lagi tidak menghantar borang pencalonan selepas pencalonan ditutup pada 7 Jun.

Abdul Malik juga berkata pilihan raya masjid itu menepati Seksyen 22 (4) Enakmen Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Seorang pemerhati pilihanraya masjid tempatan yang tidak ingin diketahui umum melihat pembatalan ini sebagai sesuatu yang bersifat politik. Ini adalah kerana hal agama Islam Pulau Pinang diletakkan di bawah YDP Agong, maka kebanyakan jentera masjid sebelum ini pun menjadi satu wadah kepada politik Umno termasuklah meletakkan ahli-ahlinya mengetuai sesuatu kariah.

Dengan adanya pemilihan masjid, ia memberi peluang yang adil kepada kedua-dua pihak sama ada yang menyokong kerajaan pusat ataupun negeri memenangi tempat berdasarkan kelayakan dan sokongan ahli-ahli kariah ini. Oleh itu, pembatalan ini bermakna jentera masjid Umno yang menggunakan kedudukan hal ehwal Islam negeri di bawah YDP Agong menang dan boleh meneruskan usaha mereka menguasai institusi masjid secara berkesan.

Beliau mengulas isu sama ada pilihanraya itu bakal memecahbelahkan orang Islam di negeri itu, beliau memberitahu keadaan sudah pun begitu sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan negeri. Umno menggunakan institusi masjid dan kariah bagi mengawal apa yang tertinggal baki dari pemerintahan mereka dahulu dan kariah pada hari ini sudahpun berpecah-belah.

Dengan mengadakan pilihanraya masjid, adalah langkah bijak bagi memberikan kepuasan kepada semua pihak untuk mencuba nasib dan mendapat sokongan ahli-ahli kariah untuk menduduki masjid.

Semalam, Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri sekiranya masih bertegas melaksanakan kaedah pemilihan Anggota Pemilihan Masjid (AJK) Kariah mengikut sistem pilihan raya umum.

Yang Dipertua persatuan itu, Datuk Seri Mohd Yussoff Latiff berkata persatuan itu berpendirian tegas tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil kerajaan negeri berikutan kaedah berkenaan tidak mengikut undang-undang yang sedia ada berikutan ia masih belum mendapat perkenan Yang Dipertua Agong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dua hari lepas berkata mengikut perlembagaan negara, segala hal yang berkaitan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja dan Sultan negeri masing-masing.

Beliau berkata dalam konteks pentadbiran di Pulau Pinang yang tidak mempunyai Raja, permasalahan berkaitan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Jamil Khir berkata keputusan kerajaan Pulau Pinang untuk menjalankan sistem pemilihan AJK Kariah Masjid mengikut ala pilihan raya berkemungkinan besar akan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam, khususnya dalam masjid.

-KL Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan