Pengikut

Khamis, 9 Jun 2011

Kenapa Umno Macam Cacing Kepanasan?

KENYATAAN MEDIA RASMI
Pilihanraya Masjid: Kenapa UMNO Macam Cacing Kepanasan?
9 Jun 2011

Angkatan Muda KeADILaN Pulau Pinang (AMKPP) mengadakan sidang media ini adalah untuk menyanggah tuduhan Umno yang menuduh DAP ingin mencampuri urusan agama Islam negeri, kedua tentang sokongan penuh AMKP terhadap pilihanraya Masjid dan ketiga: cadangan penambahbaikan dari pihak kami.

Pertamanya, Angkatan Muda KeADILaN Pulau Pinang (AMKPP) menyanggah sekeras-kerasnya tuduhan liar yang dilempar oleh pihak Umno yang mengatakan DAP memecah belah perpaduan umat Melayu Islam dengan masuk campur dalam urusan agama Islam di negeri ini, khususnya Masjid. Tegas kami nyatakan di sini, inisiatif untuk mengadakan pemilihan jawatankuasa pentadbiran Masjid di negeri ini sudah diatur awal dengan melibatkan persetujuan bersama di antara Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Agama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jesteru kami menyeru agar umat Islam di negeri ini tidak terpedaya dengan fitnah terbaru Umno ini, kerana jelas pilihanraya Masjid yang dicadangkan hanya melibatkan entiti-entiti yang berkaitan dengan agama Islam di negeri ini sahaja, dan tidak langsung melibatkan Parti DAP, apatah lagi entiti non-muslim yang lain.

Angkatan Muda KeADILaN Pulau Pinang (AMKPP) juga menyedari tindakan Umno yang 'menggelupur' macam cacing kepanasan itu adalah kerana mereka tidak mahu institusi yang selama ini berada di bawah lingkungan pengaruh mereka itu, dikembalikan kepada umat dan anak kariah tempatan. Dan dalam masa yang sama, mereka cukup takut kerana bakal gagal dalam pemilihan ini, berikutan amalan 'klasik' selama ini yang diamalkan secara pilih kasih, atau pilihan berdasarkan mereka yang pro-Umno sahaja.

Justeru, Angkatan Muda KeADILaN Pulau Pinang (AMKPP) ingin menyatakan sokongan penuh kami terhadap inisiatif yang murni dan yang pertama kali dijalankan di negara ini. Ini adalah kerana objektif pemilihan adalah untuk mengembalikan semula kuasa memilih Jawatankuasa Pentadbiran Masjid, kepada anak kariah tempatan. Dan usaha ini juga bakal memastikan Masjid dibebaskan dari kongkongan Umno yang menjadikan Masjid seperti milik mereka, walhal kebanyakan masjid di bawah kekuasaan mereka selama ini, sebenarnya lesu dan tidak aktif.

Justeru, demi memperkemaskan lagi Pemilihan Masjid yang bakal berlangsung ini, pihak AMKPP ingin mencadang agar satu 'sistem database' maklumat ahli kariah diperkenalkan untuk memberi kuasa penuh hanya kepada anak kariah yang sudah bermastautin 3 bulan ke atas di satu-satu kariah itu layak untuk mengundi.

Semoga Pilihanraya Masjid yang bakal berlangsung bermula minggu depan dapat mengembalikan Masjid-masjid di negeri kembali ke pangkuan umat untuk dijaga, diurus dan dimakmurkan oleh mereka yang beramanah dan berwibawa.


Salam Reformasi

AMIR GHAZALI
Ketua Angkatan Muda KeADILaN Pulau Pinang (AMKPP)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan