Pengikut

Sabtu, 18 Jun 2011

JPM biayai majlis tunang anak Najib

Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong hari ini menimbulkan soalan siapa yang membiayai bil bagi majlis pertunangan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam. Majlis tertutup itu dikhaskan kepada kira-kira 800 tetamu istimewa dan terpilih yang terdiri daripada golongan dan kerabat diraja termasuk dari negara asing, ahli politik, tokoh perniagaan dan kenalan rapat yang lain.

Hanya media rasmi sahaja yang dibenarkan membuat liputan.

Majlis itu diadakan sempena pertunangan anaknya Nooryana Najwa kepada Daniyar Nazarbayev, yang mempunyai pertalian dengan presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

“Saya difahamkan nota pembelian daripada sebuah hotel terkemuka itu dikeluarkan atas nama Jabatan PM. Ini menimbulkan soalan, siapa sebenarnya membayar bil katering yang berjumlah RM81,000,” soal Dr Tan.

Beliau yang merupakan bekas ahli parlimen Gerakan dan juga timbalan menteri berkata soalannya itu penting, khususnya ketika rakyat sekarang diminta ‘mengetatkan tali pinggang mereka ketika menghadapi kenaikan kos kehidupan’.

“Pengurangan subsidi minyak dan barangan keperluan, memeritkan rakyat. Justeru, soalan siapa yang menanggung perbelanjaan itu perlu dijawap, lebih-lebih lagi nota pembelian dibuat atas nama Jabatan PM,” katanya.

Hanya media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan. Menurut Bernama majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara.

Antaranya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

Kenamaan asing yang turut dijemput termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan isteri Sheikha Salam binti Hamdan Al Nahyan, serta Pengerusi Medina Council Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud.

Nooryana Najwa, 22, merupakan lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat sementara Daniyar, 22, menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York (gambar atas).

Pasangan itu bertemu ketika menuntut di Amerika Syarikat.

Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa bersalah dari segi moral kerana menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya.

“Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi,” kata pemimpin PAS itu.

Sebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.

Lawatan itu, juga dikatakan kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun lalu.

-KL Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan