Malah akhbar arus perdana milik Barisan Nasional tidak ketinggalan memaparkan gambar Najib sebagai peminat bola sepak Manchester United sewaktu menonton siaran langsung pertandingan bola sepak Piala Juara Eropah malam Ahad lalu. Bertuahlah Malaysia ada pemimpin yang sebati naluri anak muda sekarang.
Tetapi apakah program sebegini dapat mengalirkan tumpuan belia kini dari realiti masa depan mereka yang semakin hari merudum? Apakah dengan mencandukan belia dengan program-program yang mengasyikkan dapat menyembunyikan fakta yang peluang pekerjaan dan kadar pendapatan untuk seseorang pekerja di Malaysia semakin merosot?
Rezeki yang menyusut
Dalam laporan Model Ekonomi Baru yang disediakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan, dianggarkan 75 peratus daripada jumlah pekerja Malaysia hanya berkelayakan SPM ke bawah dan berkemahiran rendah.
Pada masa yang sama pelaburan swasta dalam negara juga merosot; pelaburan swasta sebagai peratusan dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia jatuh daripada 24 peratus untuk tahun 1988-1997 kepada 12 peratus pada 2008.
Sementara kemasukan pelaburan asing (FDI) pula berubah hala, di mana dari tahun 2006 hingga 2009 Malaysia mencatatkan pengaliran pelaburan asing negatif. Dalam ertikata yang lain, prospek ekonomi Malaysia tidak mekar berkembang dan semakin malap berbanding masa lalu.
Pada tahap mikro pula, prospek pendapatan pekerja tidak merangsangkan; kadar kenaikan gaji di Malaysia hanya berkembang pada 2.6 peratus untuk jangka masa dari 1994 hingga 2007 (Kajian Politik Untuk Perubahan, 31 Mei 2011).
Perkembangan ini bertambah buruk kerana dasar kerajaan yang longgar dalam membenarkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia. Alasan yang penduduk tempatan enggan bekerja kerana pekerjaan yang diisi tersebut berbahaya serta keadaan kerja tidak selesa sering diguna untuk membenarkan kemasukan pekerja asing.
Namun hakikatnya semakin banyak industri menggunakan pekerja asing kerana kesediaan mereka untuk bekerja dan menerima upah yang rendah. Dalam sektor perkilangan, kerap kali penduduk tempatan diletak dalam tempat yang terendah dalam hirarki pengupahan pekerja oleh syarikat swasta kerana saingan pekerja asing ini.
Inflasi yang semakin meningkat terus membaham apa saki-baki simpanan yang tinggal dari perbelanjaan pekerja. Dari 2006 hingga 2010, kadar kenaikan harga makanan puratanya 4.6 peratus setahun (Malaysiakini, 20 Mei 2011). Apakah rungutan orang awam tentang kenaikan harga makanan dan barang keperluan yang melampau sampai ke telinga pemerintah yang hidup mewah tak kenal susah?
Masa depan dan Mat Rempit
Masa depan untuk seorang anak muda di Malaysia kian pudar. Bagi mereka yang yang berpelajaran dan berkemahiran tinggi, berhijrah ke negara-negara yang prospeknya lebih baik berbanding Malaysia, tentulah mudah.
Fenomena ini tidak terbatas hanya pada kaum bukan Melayu; dilaporkan di wilayah Victoria di Australia sahaja, ada sekurang-kurangnya 5,000 orang Melayu menetap di situ sebagai penghuni warga tetap atau warga negara Australia (Bernama, 31 Mei 2011).
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak berpeluang berhijrah?
Gejala mat rempit yang membingungkan masyarakat dan pihak berkuasa tidak berlaku tanpa sebab. Ia adalah pertanda kepincangan yang wujud pada sistem pendidikan Malaysia dan latar belakang sosial dan ekonomi belia sekarang.
Sistem pendidikan negara kian merosot kerana campur tangan politik dan dasar pendidikan yang tidak tentu hala. Setiap kali Kementerian Pelajaran bertukar menteri, ada saja dasar pendidikan diubah tanpa perancangan yang teliti. Contohnya, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI); ia sudah diubah tiga kali sejak dilaksanakan pada 2002.
Skim untuk menukarkan Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar yang mendapat keputusan cemerlang kepada biasiswa dihentikan pada 2005. Ia dipulih kembali pada tahun 2010. Berapa ramai pelajar IPT dari tahun 2006 hingga 2009 yang dikecewakan kerana dinafikan manfaat tersebut?
Latar belakang mereka yang berasal dari keluarga yang besar dan miskin juga menyumbang kepada keadaan anak muda mudah terpengaruh dengan unsur yang tidak sihat. Dalam erti kata lain ramai ibu bapa yang susah terhimpit dengan mencari nafkah hidup yang kian hari menyusut dan dalam keadaan di mana kedua-dua suami dan isteri terpaksa bekerja siang malam sekadar cukup menampung kehidupan harian saja.
Mampukah mereka menjaga, menyayangi dan membimbing anak-anak yang ramai dalam keluarga mereka menjadi insan yang sayangkan diri dan berupaya memajukan diri sendiri?
Tebang menuju pangkal, melanting menuju tangkai
Penyelesaian kepada masalah belia kini bukanlah hanya dengan mengula-gulakan mereka dengan pelbagai program sosial; bak kata berupa tak berisi. Usaha mengatasi masalah mereka hendaklah bermula dari akarnya. Dasar pendidikan yang sedia ada perlu dirombak.
Pertama, lebih banyak tumpuan perlu diberi untuk melengkapi kemahiran mereka. Pendidikan vokasional perlu dikembangkan supaya anak-anak yang tidak berpeluang menghabiskan pelajaran minimum (yakni tahap SPM) boleh belajar kemahiran yang diguna pakai oleh sektor pekerjaan tanpa sebarang syarat. Jalinan antara syarikat swasta dan sekolah vokasional boleh dipertingkatkan lagi dalam bentuk latihan industri yang lebih praktik dan amali untuk belia, sementara syarikat-syarikat yang terlibat mendapat manfaat dalam bentuk barang hasilan yang bermutu.
Untuk staf pendidikan, campur tangan dan pengaruh politik hendaklah ditolak sama sekali. Guru-guru bukanlah alat kerajaan untuk berkempen bagi mana-mana parti politik atau membuat kerja-kerja publisiti untuk menteri. Kerajaan perlu mengurangkan “paper work” atau kerja pentadbiran yang tidak produktif untuk guru-guru. Biar guru buat apa yang sepatutnya dibuat, mengajar dan mendidik anak-anak kita.
Kedua, mengubah situasi pekerjaan yang sedia ada, bermula dengan memperkenalkan gaji minimum untuk semua pekerja, tempatan dan asing. Dianggarkan 40 peratus daripada rumah tangga Malaysia berpendapatan kurang daripada RM 1,500 sebulan, kadar minimum untuk menampung hidup (The Star, 28 Mei 2011).
Syarikat swasta perlu bersedia untuk berdikari dan bersaing dalam mengurangkan kos pengendalian syarikat, bukannya bergantung kepada buruh murah untuk menjimatkan kos. Pengambilan pekerja asing perlu dikurangkan supaya kenaikan gaji tidak ditekan akibat persaingan yang tidak adil untuk penduduk tempatan dan pekerja asing.
Apabila keadaan hidup bertambah maju dan selesa hasil dari bertambahnya rezeki, dorongan untuk memastikan anak sendiri tidak mengulangi nasib diri sendiri tentunya ada. Kasih sayang dan bimbingan yang cukup akan wujud untuk anak-anak sendiri tanpa selalu dibelenggu dengan masalah mencari suapan mengalas perut; dengan semulajadinya anak-anak sendiri akan mempunyai nilai diri yang lebih kukuh.
Tidak payah lagi untuk pak menteri bersusah payah hendak berlagak semacam belia sedangkan umur sudah lebih separuh abad dan beruban sudah. Anak muda perlukan pengisian realiti hidup, bukan sekadar konsert dan sukan percuma setahun sekali.-Roketkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan