Pengikut

Sabtu, 30 April 2011

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Tolak Ugutan UM

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam tindakan Universiti Malaya mengugut untuk menyingkir mana-mana pelajar yang menyertai Himpunan Pekerja esok. Timbalan Naib Cancelor Datuk Rohana Yusof memberi amaran itu kepada Setiausaha SMM, Izzuddin Hilmi Zaini sekiranya beliau menyertai pada Himpunan Pekerja 1Mei esok.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukry Abd Razab berpendapat, agenda 1 Mei Hari Pekerja tidak sepatutnya dilihat sebagai satu isu politik sebaliknya sebagai satu usaha untuk merapatkan hubungan antara mahasiswa dengan masyarakat.

“Pendirian kita sebenarnya sebagai pentadbir tinggi beliau tidak sepatutnya memberi amaran sebegitu. Dia sepatutnya mempamerkan satu sikap terbuka terhadap mahasiswa yang sepatutnya selari dengan idealisme di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi yang sekarang ini lebih bersifat terbuka,” kata beliau.

Beliau menegaskan Menteri berkenaan sendiri mahukan “mahasiswa supaya lebih bersikap matang dalam berorganisasi bukan sahaja organisasi dalam kampus tetapi mahasiswa boleh bersama dengan masyarakat.” .

Beliau menambah, SMM tidak mempunyai sebarang masalah menyertai sebarang perhimpunan bersama rakyat. Namun budaya yang diamalkan oleh pihak universiti sendiri menyebabkan potensi anak muda khususnya mahasiswa sejak kebelakangan ini merudum dan merosot, “ kata Ahmad Syukry .

“Ini menggambarkan (seolah-olah) universiti bukan lagi agenda atau tempat untuk proses mematangkan mahasiswa tetapi dia suka menakut-nakutkan dan mengugut mahasiswa sehingga idealisma dan kematangan mahasiswa untuk berorganisasi untuk bersama masyarakat itu terbunuh,” katanya.

Ujar beliau, agenda Himpunan Pekerja 1 Mei perlu dilihat sebagai peluang mahasiswa bersama dalam masyarakat dan menyuarakan tuntutan masyarakat kepada pihak kerajaan.

Sementara itu, Izzuddin ketika dihubungi, mengesahkan beliau dipanggil serta diberikan kata dua supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan. Beliau dimaklumkan bahawa sekiranya ditangkap polis, beliau akan disingkir daripada UM. Izzudin bertegas untuk menyertai himpunan aman itu kerana beliau terbabit dalam penganjuran majlis itu di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

“Kalau dengan hanya saya terlibat dan di tangkap dan sebab itu saya dibuang dari universiti, itu cara tidak betul. Kalau ditangkap, saya perlu dibawa ke mahkamah yang sah, walaupun mahkamah universiti perlu dibicara, baru boleh ambil tindakan buang atau sebagainya. Mereka tidak boleh langgar cara yang sebenar. Mana boleh kalau belum dibuktikan bersalah terus ambil tindakan,” katanya.

Himpunan pekerja 1 Mei esok akan disertai lebih 60 kumpulan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang akan mengadakan perarakan sempena Hari Pekerja dengan tema 'Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi' pada 1 Mei ini.

-tvs


Tiada ulasan:

Catat Ulasan