Pengikut

Sabtu, 12 Mac 2011

Umno marah PAS tak haram judi...?

Umno merupakan tulang belakang pemerintahan Selangor selama lebih 50 tahun sehinggalah rebah kecundang ditewaskan dalam PRU ke 12 tahun 2008 lalu.

Menteri Besar dan barisan EXCO Umno silih berganti. MB terakhir Umno di Selangor adalah Khir Toyo manakala EXCO Agama yang terakhir adalah Rahman Palil. BN yang dinaungi Umno ditewaskan di Selangor oleh gabungan PKR, PAS dan DAP yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat.

Memang banyaklah dilakukan oleh BN dan Umno sepanjang menongkat langit kuasa selama lebih 5 dekad. Islam bagaimana? Saya kemukan persoalan ini kerana akhbar Sinar Harian menyiarkan pandangan Rahman Pali ADUN Umno dari Sementa yang juga bekas EXCO Agama.

Dalam kes pengharaman judi di Selangor Rahman mendakwa PAS tidak melihat aktiviti judi sebagai sesuatu yang salah disisi agama.

Kononnya PAS tidak menghormati sensitiviti umat Islam apabila bersekongkol dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat dalam tidak mengharamkan judi di Selangor.

Semasa Rahman EXCO Agama dahulu, semasa Umno tulang belakang kerajaan Selangor dahulu apakah yang telah dilakukan terhadap judi? Agaknya lantaran terkejut hilang kuasa sejak 3 tahun kebelakangan ini Rahman dan rakan-rakannya lupa yang mereka dahulu pernah berkuasa di negeri ini. Semasa mereka berkuasa judi tidak diharamkan walau memiliki kerusi jauh lebih banyak dari PAS ketika itu.

Memang PAS sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab dalam menyuntik semangat Islam dalam kerajaan Selangor. Walau dalam keterbatasan kuasa PAS perlu berikhtiar meyakinkan rakan-rakannya dalam kerajaan, sedang semasa Umno berkuasa dahulu (kalau Umno parti orang Islam) mereka boleh sahaja terus mengharamkan apa sahaja yang mahu dioharamkan kerana mereka punya kuasa mutlak.

Ternyata dalam 3 tahun kebelakangan ini Selangor melihat PAS mengambil insiatif yang positif dalam hal amar makruf nahi mungkar. Tampak lebih berani dan realistik berbanding Umno yang sekadar berpeluk tubuh memanaskan kerusi kuasa.

Kawalan jualan arak, larangan pekerja Islam bekerja di pusat hiburan yang menghidang arak, penguatkuasaan terhadap kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah terus menerus ditekankan sehingga pencapaiannya begitu ketara berbanding dengan ketika Umno berkuasa dahulu.

Geli melihat gelagat Rahman Palil. Umno juga Islam tetapi tidak pernah meletakkan amar makruf nahi mungkar sebagai sesuatu yang perlu diberikan kepentingan. Tetapi apabila PAS berkuasa, maka berkokoklah mereka seolah mahu lebih Islamik.

Dalam buku Memoir Khatijah Sidek, bekas Ketua Wanita Umno yang juga ahli parlimen wanita PAS yang pertama pada thuan 1959 (mewakili Parlimen Dungun) Khatijah menyebut:

Kami (ahli-ahli parlimen PAS) tidak setuju menggunakan wang Loteri Kebajikan Masyarakat untuk membaiki atau membangun masjid tapi wang tersebutlah yang banyak dicurahkan kepada pembangunan masjid (oleh kerajaan Persekutuan yang dikuasai Umno). Kami tidak mahu menggunakan wang ini kerana puncanya tidak bersih. Wang ini dikutip dari perjudian, satu perbuatan haram dan bertentangan dengan Islam tapi kerajaan tak peduli semua itu.

Benar PAS memikul amanah melaksanakan Islam, tapi kalau Umno juga parti orang Islam, judi di Perlis, Johor, Pahang dan lain-lain macam mana? Pahang jangankan judi loteri dan tikam nombor, kasino terbesar di rantau ini tersergam di puncak banjarannya!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan