Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dinasihatkan supaya tidak bersikap angkuh dan 'berkokok' terlalu awal berhubung peningkatan pelaburan asing selagi beliau belum mengemukakan fakta terperinci mengenainya.
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua berkata, walaupun kementerian berkenaan telah memberikan jawapan bertulis, malangnya ia tidak memperincikan jumlah peningkatan pelaburan berkenaan.
"Saya ingin memberikan respons, tetapi sebelum itu saya memerlukan maklumat yang tepat, menyeluruh dan terperinci daripada MITI. Saya telah meminta MITI memberikan jumlah pelaburan asing yang diluluskan berbanding dengan jumlah sebenar yang dilaburkan. Perbezaan ini penting kerana pelaburan yang diluluskan mungkin tidak menjadi atau tertangguh,"katanya.
Mustapa dua hari lalu ketika menjawab soalan Pua berkata, pelaburan asing di negara ini meningkat lima kali ganda dan mencabar ahli parlimen Selayang, Permatang Pauh dan Pua sendiri memberikan respon mengenai peningkatan pelaburan itu.
"... angka terkini berkaitan pelaburan asing di negara kita ini menunjukkan aliran masuk sebanyak USD9 bilion pada seluruh tahun lalu berbanding cuma USD1.4
bilion pada tahun 2009 iaitu peningkatan lebih lima kali ganda. Secara khususnya 536 itu peratusan peningkatan lima kali ganda.
"Saya mahu tanya mereka apa respons mereka (ahli parlimen pembangkang) mengenai angka ini," Mustapa dipetik sebagai berkata pada sesi Dewan Rakyat pada
Selasa.
Namun Mustapa dalam jawapan bertulisnya kata Pua, gagal menjelaskan secara terperinci jumlah pelaburan asing yang dimaksudkanya.
Mengambil contoh jumlah pelaburan asing yang diluluskan pada 2009, menurut Pua nilai yang dilaporkan adalah RM22.1 billion, namun jumlah sebenar seperti yang dicatatkan dalam statistik UNCTAD hanya RM4.76 billion.
Jelas Pua, mengikut statistik sedia ada di dalam laman sesawang Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah pelaburan asing yang diluluskan pada 2010 adalah RM29.1 billion.
Ini bermaksud, peningkatan jumlah pelaburan asing yang diluluskan MITI hanya sebanyak 31.2 peratus, dan bukannya "536 peratus" seperti yang dilaporkan Menteri.
"Oleh itu saya telah meminta MITI untuk membekalkan angka pelaburan sebenar sejak tahun 1996 untuk membuat perbandingan yang lebih tepat dan wajar. Malangnya jawapan bertulis Menteri memberikan perbandingan antara pelaburan yang diluluskan untuk pelabur tempatan dengan pelabur asing,"kata Pua.
Beliau juga turut meminta pihak kementerian untuk memberikan senarai sepuluh projek terbesar yang telah diluluskan tetapi masih belum dilaburkan ataupun
telah dibatalkan setiap tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan