Pengikut

Isnin, 28 Mac 2011

SMM Akan Anjur Perhimpunan Besar-Besaran Anti Politik Kotor

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan melancarkan kempen ‘Rakyat Selamatkan Malaysia yang akan berlangsung selama dua minggu bermula 28 Mac hingga 8 April ini bagi membantah amalan politik lucah dan kotor yang semakin membimbangkan.

Menurut pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab, SMM meletakkan sasaran untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran dengan tema “Himpunan Rakyat untuk Politik Bersih Dan Adil pada kemuncak kempen tersebut.

“Kempen ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai situasi semasa dan langkah yang perlu dimainkan oleh semua pihak untuk merawati keparahan kondisi politik Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sekaligus menyambut saranan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengajak semua pihak menganjurkan perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

Dalam kenyataannya, Ahmad Syukri mengulas isu rakaman video seks oleh individu yang menggelar diri mereka sebagai ‘Datuk T’, menyifatkan perbuatan itu sudah melampaui norma politik yang seharusnya diamalkan secara bersih dan adil.

Menurut beliau, mahasiswa menilai isu yang berlaku itu merupakan hasil daripada permainan ‘politik kotor’ dan budaya pemerintahan yang bobrok.

“SMM beranggapan tidak perlu diragui lagi betapa rosaknya integriti seorang pemimpin yang sanggup mendendangkan politik murah demi menjatuhkan pesaing politik.

“Sudah pasti sistem pemerintahan negara akan semakin tempang jika pemimpin yang tidak berintegriti ini terus dibenarkan untuk menduduki kerusi pentadbiran.

“Oleh itu SMM menyarankan agar pihak kerajaan segera melakukan pemutihan dalam kerusi pentadbiran negara agar suasana politik Malaysia kembali berteraskan nilai dan peradaban,” katanya.

Justeru itu, katanya, SMM juga mendesak agar pelaku utama yang mendedahkan video seks tersebut segera diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya.

“Hal ini penting bagi memberi mesej kepada rakyat bahawa budaya ini adalah sangat tidak sihat untuk masa depan demokrasi negara.

“SMM dengan tegas menyatakan bahawa mahasiswa menggesa agar permainan isu ini dihentikan segera oleh semua pihak yang berkaitan.

Menurutnya lagi, jika di peringkat nasional, masyarakat dihantui dengan isu politik lucah, di kampus pula mahasiswa dibebani salah guna kuasa pentadbiran seperti yang berlaku di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada Pilihan Raya Kampus baru-baru ini.

“Oleh itu, dengan keadaan politik Malaysia yang bercelaru ditambah dengan suasana pendidikan politik dalam universiti yang turut tercemar dengan pencabulan demokrasi, Maka SMM melihat menjadi satu keperluan segera untuk menggerakkan kuasa rakyat dalam mengubah suasana politik Malaysia yang semakin parah.

“SMM juga tidak menolak kemungkinan untuk mengheret kondisi ini ke medan PRU 13 sebagai puncak untuk membina semula Malaysia dengan pengamalan politik yang lebih baik.

Dari KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan